Buku

Petunjuk Penggunaan Bahasa Melayu

Penulis: Noresah Baharom

ISBN: 9789674603069

Tahun Terbit: 2016

Harga: RM 28.00 / 33.00 (Sabah & Sarawak)

Kategori: Bahasa

Beli Dalam Talian:

Lazada

Persoalan tentang penggunaan bahasa Melayu yang merangkumi aspek ejaan, peristilahan, pemilihan kata, pembentukan kata, pembinaan ayat, dan penterjemahan merupakan persoalan harian yang sering dihadapi oleh pengguna aktif bahasa Melayu. Mereka terdiri daripada para penulis, penterjemah, wartawan, editor, penyiar, pelajar, guru, pengkaji bahasa serta ilmuwan dalam pelbagai bidang ilmu. Para pegawai yang terlibat dengan penggubalan undang-undang yang sentiasa menekankan ketepatan dan kepersisan bahasa dan fakta juga tidak terkecuali menghadapi masalah yang serupa.

Buku ini ditulis dengan hasrat untuk memenuhi keperluan para pengguna aktif bahasa Melayu ini, selain pengguna umum bahasa Melayu. Buku ini yang merupakan himpunan soalan atau persoalan kebahasaan yang dikemukakan oleh pengguna bahasa kepada penulis serta jawapan yang diberikan memaparkan suatu kelainan persembahan. Persembahan sedemikian dijangka menarik perhatian pelbagai lapisan pengguna bahasa dalam pelbagai genre dan bidang ilmu.

Antara sajian buku ini yang dijangka menarik perhatian pengguna bahasa ialah perbezaan bentuk dan makna kata. Contohnya ialah perbezaan antara kata perwakilan dengan pewakilan, perlindungan dengan pelindungan, bila dengan apabila, serta kata bilangan satu, suatu dan sesuatu. Jika ramai pengguna bahasa keliru dengan penggunaan kata pemeri ialah dan adalah, buku ini ada jawapannya. Persoalan tentang ejaan seperti pengkuarian atau penguarian, dikuatkuasakan atau dikuat kuasakan juga dibicarakan.

Semoga buku yang ditulis dalam format soalan dan jawapan ini dapat dijadikan rujukan mudah kepada pengguna bahasa yang ingin mendapatkan jawapan serta prinsip di balik setiap soalan dan persoalan yang diutarakan. Diharapkan juga agar buku ini dapat menambahkan khazanah kepustakaan ilmu dalam bahasa Melayu.