Blog

Buku Tentang Kuala Lumpur yang Menarik Dibaca

WilayahKu_3-9_Julai_2020_1

Buku Tentang Kuala Lumpur yang Menarik Dibaca
Oleh Anuar Manshor

(Tersiar di akhbar WilayahKu 3-9 Julai 2020)

Tatkala pelancong menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (LTAKL), apakah barang yang terlintas di fikiran mereka untuk dibeli dan dibawa pulang sebagai tanda kenang-kenangan? Bukukah?

Sekali fikir, agak sarkastik jika jawapannya buku. Namun sebenarnya mengapa tidak buku dijadikan tanda hati pelancong sebelum mereka berangkat pulang meninggalkan LTAKL.

Buku berkenaan Istanbul, London, Amsterdam, Tokyo malah Jakarta banyak dijual di kedai-kedai buku di lapangan terbang di sana. Boleh sahaja sebenarnya buku berkenaan Kuala Lumpur disusun elok-elok di rak buku untuk perhatian pelancong.

Namun apakah buku tentang Kuala Lumpur yang menarik untuk dibaca?

Born in Malaysia: A Story of Kuala Lumpur

Penulisnya Kenny Loh banyak menulis buku fotografi berkenaan Malaysia. Selain buku yang khusus berkenaan Kuala Lumpur ini, beliau turut menghasilkan buku Anak Malaysia: Pengembaraan Seorang Jurugambar, Born in Malaysia: A Photographer’s Journey, dan penulis bersama Seberang Perai: Stories from Across the Sea.

Isi kandungannya lebih kurang seperti buku Orang KL yang betul-betul mencerminkan budaya kehidupan di Kuala Lumpur yang siang malam bekerja, bermain dan berehat (work, play and rest).

Hasil tangan fotografi Kenny di dalamnya sangat realistik. Bagi warga Kuala Lumpur, membelek satu persatu 439 halaman buku ini meninggalkan kesan nostalgia
yang merindu, meluluhkan dan menyentuh lubuk hati.

Sekiranya buku ini sampai di tangan pelancong, bersedialah untuk membawa mereka menelusuri ke satu-satu lokasi yang diceritakan oleh Kenny.

Kuala Lumpur in Watercolour

Hisham Salmin asalnya jurufoto yang kemudiannya menjadi pereka bentuk kulit buku. Hasil rekaan kulit buku beliau sering menjadi tanda aras penerbit buku lain. Kini nampaknya beliau beralih profesion menjadi pelukis cat air yang sudah mula meraih perhatian di Malaysia.

Setiap lokasi yang dikunjunginya, beliau akan duduk berjam-jam melukis subjek yang diperhatikannya, tanpa menghiraukan orang yang lalu-lalang di sekitarnya. Dalam buku Kuala Lumpur in Watercolour, ada 80 lukisan berasaskan cat air berdasarkan subjek bangunan lama dan lokasi di sekitar Kuala Lumpur khususnya di Kampung Baru.

Beliau sengaja memilih subjek sedemikian kerana ia menyimpan sejarah yang hidup bersama-sama membangunnya Kuala Lumpur. Buku bersaiz A5 tersebut dipenuhi anekdot yang penuh estetik curahan rasa hatinya yang menghargai kota tempat jatuh bangun kehidupannya.

Buku ini diterbitkan pada tahun 2020. Mungkin jika dibaca lima tahun lagi, pembaca akan bertanya, “Di mana lokasinya bangunan ini ya?” Mungkin bangunan yang dilukis oleh Hisham sudah tidak ada lagi.

Selain berkenaan Kuala Lumpur, Hisham turut menghasilkan buku lukisan berkenaan bandar-bandar lain di Malaysia dan luar negara semasa mengikuti pesta buku dunia, iaitu ketika beliau bekerja dengan sebuah syarikat penerbitan.

LiteraCity: Fragmen Sastera Kuala Lumpur

Di mana-mana kota di dunia ini, kita akan menemui masa silam yang datangnya mungkin daripada bangunannya, nama jalan atau pelbagai mercu tandanya. Dalam buku yang ditangani Nurul Aizam terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Goethe Institut dan Moka Mocha Ink ini, dihimpunkan esei, wawancara, esei foto yang menyampaikan perancangan untuk mewujudkan sastera kota khususnya di Kuala Lumpur.

Buku tersebut cuba mengadaptasikan kisah-kisah sastera di beberapa lokasi di Kuala Lumpur dalam pelbagai disiplin seni. Novel Mat Som karya Dato’ Lat diterjemahkan melalui pengadaptasian di bulatan belakang JKKN Kuala Lumpur. Mereka berjaya mengadun keseluruhan konsep dan elemen ruang di situ dengan kemas.

Begitu juga kumpulan puisi Pemburu Kota karya T. Alias Taib digarap baik di lokasi Medan Pasar. Kasturi Walk pula dimanfaatkan lokasinya bagi mengadaptasikan karya teater Charlene Rajendran, My Grandmother’s Chicken Curry &.. hinggalah karya cerpen Faisal Tehrani, KL di Atas Bantal diolah di lokasi LRT Pasar Seni.

Sekumpulan anak muda turut mewawancara tokoh-tokoh sastera tempatan antaranya Muhammad Haji Salleh, A. Samad Said, Chuah Guat Eng, Melizarani T. Selva dan lain-lain bagi mendapatkan input dan pemahaman yang teliti terhadap pewujudan sastera kota di Kuala Lumpur.

Buku ini merupakan harapan bagi menjadikan Kuala Lumpur sebagai lapangan geosastera dan menghidupkan kota Kuala Lumpur melalui “kata”.

Orang KL: Bagaimana Kota Membentuk Manusia

Sekumpulan wartawan Astro Awani mewawancara 15 orang warga Kuala Lumpur yang berlainan latar, agama, bangsa dan pekerjaan yang rara-ratanya bukannya anak kelahiran Kuala Lumpur.

Dahulu, penghijrahan ke Kuala Lumpur merupakan tanda aras bagi mencapai kemajuan kehidupan. Datang ke ibu kota sehelai sepinggang berbekalkan RM50 melalui keperitan untuk berdikit-dikit sehinggalah berjaya membina kerjaya yang mapan antara yang dinaratifkan dalam buku terbitan ITBM dan Astro Awani ini.

Setiap halaman ditempek dengan gambar Shahir Omar yang menceritakan realiti siang malam di Kuala Lumpur. Semua tahu kedai buku tersohor letaknya di Suria
KLCC, namun tidak banyak yang tahu di Jalan Tun HS Lee ada kedai yang menjual lebih 60,000 buku sejak tahun 1996.

Ada juga yang mahu pergi hingga ke luar negara untuk menikmati pemandangan matahari terbit, sedangkan Bukit Tabur yang dikenali sebagai Gerbang Kuala Lumpur merupakan lokasi strategik untuk merasai detik-detik awal pagi.

Sebenarnya ada banyak lagi buku “bukan fiksyen” berkenaan Kuala Lumpur yang perlu dibaca sama ada oleh warga Kuala Lumpur mahupun pelancong. Namun ada juga buku tulisan rakyat Malaysia sendiri yang mengkritik kehidupan di ibu kota ini secara terang-terangan. Namun selagi mana namanya ilmu, eloklah pembaca baca, saring dan hadam.

Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia 2020 menjanjikan ibu kota ini terus meriah dengan buku pada tahun ini dan tahun-tahun mendatang.

Anuar Manshor
Pengurus Pembangunan Perniagaan, Institut Terjemahan & Buku Malaysia