Latihan
Jom Berbahasa Sepanyol (Peringkat Pengenalan)
Deskripsi
Bahasa Sepanyol merupakan salah satu bahasa yang paling indah di dunia. Keindahan bahasa dan lenggok intonasinya yang unik, serta struktur ayat yang tersusun menjadikan bahasa ini medium komunikasi yang mencerminkan kehalusan seni dan budaya masyarakat Sepanyol. Justeru, antara elemen yang akan diterapkan dalam program Jom Berbahasa Sepanyol (Pengenalan) merangkumi aspek seperti sapaan, pengenalan diri, huruf dan nombor, kata ganti nama, perbualan asas harian serta budaya Sepanyol.
Butiran program:
1. Tarikh: 2, 9, 16 dan 23 Mei 2026 (4 kali Sabtu)
2. Masa: 9.30 pagi - 12.30 tengah hari
3. Mod kelas: Dalam Talian (aplikasi Zoom)
Kandungan
Program Jom Berbahasa Sepanyol (Pengenalan) diperkenalkan kepada murid sekolah atau pelajar yang berminat untuk mengetahui asas komunikasi bahasa Sepanyol. Program ini berlangsung pada setiap Sabtu selama 4 minggu secara berturut (3 jam/sesi) yang memfokuskan kepada elemen komunikasi dan pengetahuan tentang budaya Sepanyol. Kaedah pembelajaran yang digunakan adalah bersifat interaktif dan merangkumi strategi koperatif, reflektif dan amali, bagi meningkatkan kecekapan serta keyakinan bertutur peserta dalam tempoh masa yang terhad tetapi berkesan. Melalui program ini, peserta akan mempelajari kosa kata dan ungkapan asas perbualan harian seperti sapaan, nombor, warna serta mengenali budaya Sepanyol secara umum.
Keperluan
Komputer riba, capaian Internet, kamera Web (Webcam), buku dan alat tulis.
Objektif
Tujuan utama program Jom Berbahasa Sepanyol (Pengenalan) adalah untuk menarik minat orang awam mempelajari bahasa Sepanyol yang dipertuturkan oleh hampir 29 buah negara dan bahasa yang kedua dipertuturkan oleh masyarakat dunia selepas bahasa Mandarin. Selain itu, tarikan untuk mengetahui lebih lanjut tentang sastera, falsafah dan budaya Hispanik menarik ramai penutur bukan asli untuk mempelajari bahasa Sepanyol.
Selain itu, antara objektif program ini adalah seperti berikut:
i. Memperkenalkan kosa kata asas dalam bahasa Sepanyol melalui aktiviti yang sesuai dengan keupayaan peserta
ii. Menggunakan kosa kata dan frasa kata dalam perbualan harian.
iii. Mendedahkan murid kepada sosiobudaya Sepanyol, termasuk gastronomi, sukan, adat dan tradisi.
Hasil Pembelajaran
Pada akhir program ini, peserta berupaya untuk:
i. Mengenal pasti dan mengenali frasa asas dalam bahasa Sepanyol.
ii. Mengaplikasikan kosa kata dan frasa kata asas dalam perbualan harian.
iii. Mengenali elemen sosiobudaya Sepanyol termasuk gastronomi, sukan, adat dan tradisi.
Mod Pembelajaran
Kuliah, Latihan, Perbincangan
Medium Pembelajaran
Zoom
Medium Pengajaran
Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Sepanyol
Sijil
Catatan Tambahan:
i. Sijil Penyertaan ITBM akan diberikan kepada peserta yang hadir ke tiga kelas.
ii. Bahasa pengantar yang digunakan: Bahasa Melayu, Inggeris dan Sepanyol.