Latihan
Jom Berbahasa Perancis (Peringkat Pengenalan)
Deskripsi
Program ini direka khusus untuk memperkenalkan asas Bahasa Perancis kepada murid sekolah melalui pendekatan interaktif, komunikatif dan didik hibur. Penekanan diberikan kepada penguasaan frasa harian, kosa kata bertema, serta struktur ayat mudah bagi membina keyakinan murid untuk berkomunikasi dalam situasi sebenar.
Selari dengan Anjakan 2 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang menekankan penguasaan pelbagai bahasa, program ini bukan sahaja memperkaya kecekapan bahasa murid, malah membuka peluang kepada pendidikan tinggi dan kerjaya bertaraf antarabangsa, khususnya dalam bidang teknikal dan vokasional.
Penguasaan bahasa asing seperti Bahasa Perancis memberikan nilai tambah kepada pelajar dalam usaha melahirkan generasi yang berfikiran global, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia tanpa sempadan.
Kandungan
Sepanjang program ini, peserta akan didedahkan kepada aspek asas Bahasa Perancis termasuk sistem sebutan, penggunaan frasa harian, huruf dan nombor, serta pengenalan kepada elemen sosio-budaya Perancis yang penting dalam konteks komunikasi.
Pendekatan ini bertujuan membina kefahaman linguistik yang seimbang dan kontekstual, agar peserta bukan sahaja memahami struktur bahasa, tetapi juga dapat menyesuaikan penggunaan bahasa mengikut situasi sebenar.
Aktiviti-aktiviti seperti latihan sebutan, permainan bahasa, simulasi perbualan, dan tayangan multimedia akan digunakan untuk menyokong proses pembelajaran secara aktif dan menyeronokkan.
Di samping itu, peserta juga akan diberi peluang untuk mengenali adat resam, makanan, perayaan dan gaya hidup masyarakat Perancis yang boleh menambah kefahaman dan minat terhadap budaya penutur asli.
Keperluan
Komputer riba, capaian Internet, kamera Web (Webcam), buku dan alat tulis.
Objektif
Tujuan utama Program Jom Berbahasa Perancis adalah untuk menarik minat murid sekolah mempelajari Bahasa Perancis sebagai bahasa global yang membuka peluang akademik, kerjaya, dan budaya, serta menguasainya secara menyeronokkan melalui pendekatan interaktif dan relevan.
Objektif program ini adalah:
i.Memperkenalkan asas Bahasa Perancis termasuk sebutan dan kosa kata mudah melalui aktiviti nyanyian, permainan bahasa dan simulasi perbualan harian.
ii. Meningkatkan keyakinan murid dalam komunikasi praktikal melalui situasi harian seperti memberi salam, perkenalan diri dan membuat pesanan makanan.
iii. Mendedahkan murid kepada unsur budaya Perancis seperti filem pendek, muzik tradisional untuk memperkayakan kefahaman bahasa.
iv. Melaksanakan pembelajaran interaktif dengan memanfaatkan teknologi digital dan aktiviti berkumpulan termasuk role-play dan projek kreatif.
v. Memupuk minat berterusan terhadap penguasaan Bahasa Perancis sebagai aset penting untuk akademik, kerjaya antarabangsa
Hasil Pembelajaran
Di akhir program, peserta dijangka mampu menggunakan frasa mudah dalam pelbagai situasi asas seperti memberi salam, memperkenalkan diri, bertanya dan memberi maklumat ringkas, serta membuat pengiraan asas. Kaedah pembelajaran yang digunakan adalah bersifat interaktif dan merangkumi strategi koperatif, reflektif dan amali, bagi meningkatkan kecekapan serta keyakinan bertutur peserta dalam tempoh masa yang terhad tetapi berkesan.
Selain itu, pendekatan pengajaran berbentuk terjemahan turut diaplikasikan dalam sesi pembelajaran sebagai strategi untuk memperkaya perbendaharaan kata peserta serta memperkukuh kefahaman terhadap struktur dan makna frasa dalam bahasa Perancis. Kaedah ini membantu peserta mengaitkan perkataan dan ungkapan baharu dengan konteks bahasa ibunda mereka, seterusnya memudahkan proses pembelajaran secara berperingkat dan sistematik.
Mod Pembelajaran
Kuliah, Latihan, Perbincangan
Medium Pembelajaran
Zoom
Medium Pengajaran
Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris
Sijil
Catatan Tambahan:
i. Sijil Penyertaan Jom Berbahasa Perancis ITBM akan diberikan kepada peserta yang hadir ke semua sesi.
ii. Bahasa pengantar yang digunakan: Bahasa Melayu, Inggeris dan Perancis