Promosi

KEMPEN 1 SEKOLAH 1,000 BUKU

Kajian Perpustakaan Negara mendapati rata-rata anak-anak kita membaca tidak sampai 20 buku setahun sedangkan di negara maju, anak-anak di sana membaca sekurang-kurangnya 50 buku setahun.

Persoalan yang paling penting perlu kita tanya;

Adakah anak-anak kita di sekolah khususnya tidak membaca?

Atau, mereka sebenarnya mempunyai banyak program tentang membaca tetapi ada kekangan lain yang mereka hadapi?

Sejak bermulanya PKP ini, kadar pembacaan yang ditinjau melalui penjualan buku telah meningkat dengan sangat mendadak.

Mahu tidak mahu, ketika sekolah diarahkan tutup, anak-anak kita perlu meneruskan pendidikan dalam apa jua cara.

Sudah tentu membaca buku-buku yang baharu dan menarik adalah instrumen pendidikan yang paling asas dan berkesan. Sebab itu ramai ibu bapa mula melabur sejumlah wang untuk membeli buku-buku yang baharu buat anak-anak.

Masalah di rumah selesai. Tetapi di sekolah bagaimana pula?

Sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) menggalas tanggungjawab yang sangat besar. Kami perlu meneruskan usaha memupuk budaya membaca dari kalangan anak-anak di sekolah melalui inisiatif yang pelbagai.

Sejak dulu, ITBM konsisten menerbitkan buku-buku yang boleh menjadi alat bantu pendidikan untuk anak-anak di sekolah.

Begitu juga buku-buku yang bersifat pengetahuan am (general knowledge) yang menarik untuk anak-anak membacanya.

Seperti siri buku Ahli Sains di Tempat Kerja, siri buku Uji Kaji juga siri buku Kisah-kisah Olahan dan banyak lagi buku yang sesuai untuk dibaca oleh anak-anak kita.

Namun usaha kami tidak boleh berhenti di situ.

Tinjauan kami mendapati, perpustakaan di sekolah-sekolah terutama sekali sekolah di kawasan pedalaman dan luar bandar masih kekurangan buku-buku baharu.

Ada perpustakaan sekolah, buku paling terkini yang mereka ada ialah buku terbitan tahun 2010, iaitu 10 tahun lepas.

Hal ini amat menyedihkan.

Setelah berbincang dengan beberapa pihak, ITBM memutuskan untuk bekerjasama dengan Yayasan Wakaf Buku untuk memulakan usaha “crowdfunding” secara besar-besaran.

Kami percaya, rata-rata masyarakat kita sedar dan mahu menjadi sebahagian daripada perubahan melalui kemampuan masing-masing.

Malah tanggungjawab dalam meneruskan agenda pendidikan anak-anak kita di sekolah ialah tanggungjawab kita bersama.

Maka, bermula 17 Jun 2020, kami memulakan hebahan umum tentang usaha kami ini. Impian kami ialah #1Sekolah1000Buku.

Kami mahu menjemput sesiapa sahaja untuk turut serta merealisasikan impian ini. Anda tidak perlu berbuat apa-apa. Anda cuma perlu menyumbang dana sahaja untuk kami membeli buku dan menguruskan penghantaran ke sekolah.

Caranya mudah, anda boleh pindahkan sumbangan anda ke akaun Yayasan Wakaf Buku (Maybank: 562209 659068). Jangan lupa masukkan Reference “1S1KB” untuk memudahkan pihak Yayasan mengenal pasti tujuan sumbangan anda.

Selebihnya, kami akan uruskan semuanya.

Dari semasa ke semasa, kami akan maklumkan senarai sekolah yang telah berjaya menerima 1,000 buku hasil dari sumbangan anda.

Kami juga memohon bantuan anda untuk sebarkan seluas mungkin hebahan ini. Biar ramai orang tahu, mereka boleh menjadi penggerak perubahan masyarakat walau siapapun mereka.

Untuk sebarang urusan atau maklumat tambahan, anda boleh hubungi info@yayasanwakafbuku.org atau WhatsApp 0192112204 (Shida).