Blog

10 Buku Terkenal di Dunia Kini Boleh Didapati dalam Bahasa Melayu

u98lIXKgNu

Oleh Hafizul Faiz
Tersiar pada 2 Mac 2020 di The Vocket https://www.thevocket.com/10-buku-terkenal-di-dunia-kini-boleh-didapati-dalam-bahasa-melayu/

Baru-baru ini tular di media sosial keluhan beberapa pihak terhadap industri buku negara. Ada pihak mengeluh kerana buku-buku terkenal di dunia sangat sukar didapati dalam Bahasa Melayu.

Benarkah dakwaan ini?

Hasil daripada tinjauan terhadap beberapa pihak, sebenarnya tidak kurang juga buku-buku popular dan terkenal di luar negara yang sudah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh banyak penerbit.

Disenaraikan di sini buku terkenal dan tersohor di dunia yang boleh didapati dan dibaca dalam Bahasa Melayu (bukan bahasa Indonesia).

1. Faust Karya Johann Wolfgang von Goethe
https://www.itbm.com.my/buku/faust

Faust merupakan antara karya agung Johann Wolfgang von Goethe, atau lebih dikenali sebagai Goethe. Faust merupakan sebuah puisi drama panjang yang sangat berpengaruh pada awal abad ke-20 sehingga hari ini. Paling awal buku ini dicetak dan boleh dikesan ialah pada tahun 1790. Walau bagaimanapun, berdasarkan kajian beberapa pihak, Faust sudah mula diterbitkan sekitar 1772 sehingga 1775 dengan membawa judul Unfaust.

Karya Faust juga sangat banyak dibahaskan di peringkat sarjana, dan sudah banyak difilemkan seperti filem Philipp Humm berjudul The Last Faust (2019) yang diadaptasi daripada karya Faust. Tidak dilupakan filem seperti American Satan (2017) yang watakwataknya banyak berdasarkan karya agung Goethe ini.

Karya hebat ini sebenarnya sudah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh salah seorang penulis dan penyair terkenal tanah air iaitu Latiff Mohidin dan telah diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM).


2. Sherlock Holmes karya Sir Arthur Conan Doyle

Ya, jangan risau, saya juga sedang membayangkan lakonan Benedict Cumberbatch yang sangat memukau itu.

Karya yang sangat terkenal di seluruh dunia ini merupakan siri cerita penyiasatan yang sangat menghiburkan. Kali pertama Sherlock Holmes diperkenalkan ialah pada 1887 di dalam kisah A Study in Scarlet.

Selepas itu, Sherlock mula dikenali dan menjadi popular. Cerita-cerita yang keluar di The Strand Magazine seperti A Scandal in Bohemia (1891) yang akhirnya menjadikan siri Sherlock mempunyai 4 buah novel dan 56 buah cerita pendek (cerpen). Namun sayang, hari ini kita mengenali Sherlock hanya melalui filem-filem dan drama siri yang wujud di kaca televisyen, sedangkan sebenarnya Sherlock lagi menyentuh dan menarik malah sangat berbeza perasaannya sekiranya kita membaca karya asalnya di dalam bentuk novel dan cerita pendek.

Tidak faham bahasa Inggeris kerana bahasa yang digunakan oleh penulis terlalu tinggi?

Jangan risau, siri Sherlock ini sebenarnya sudah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu standard oleh seorang penterjemah kelahiran Kelantan, Imran Yusuf dan telah diterbitkan PTS.


3. How to Win Friends and Influence People karya Dale Carnegie

“Hanya ada satu cara untuk menang perdebatan, iaitu mengelak daripadanya.” – Dale Carnegie, How to Win Friends and Influence People.

Orang-orang yang hebat mustahil tidak mengenali Dale Carnegie dan magnum opus beliau yang satu ini. Buku motivasi ini sangat berpengaruh di seluruh dunia. Buku ini menurut The Financial Post Archived merupakan buku yang telah terjual sebanyak 15 juta buah sejak ia diterbitkan pada 1937.

Pada 2011, majalah Time menyenaraikan buku ini duduk di tangga ke-19 dalam 100 Buku Paling Berpengaruh. Orang bisnes, tokoh politik, dan sesiapa yang mahu mendapatkan pengaruh akan menemui keajaiban yang luar biasa melalui buku ini kerana penulis mendedahkan satu demi satu langkah praktikal untuk berinteraksi dengan sesiapa sahaja dan menjadikan mereka senang dan terus terpengaruh dengan kita.

Hari ini, buku ini juga sudah boleh didapati di dalam Bahasa Melayu dan telah diterbitkan oleh PTS.


4. Penamat Sejarah dan Manusia Terakhir karya Francis Fukuyama
https://books.google.com.my/books?id=Js1cp6pzhBYC&printsec=frontcover#v=onepage&q&f=false

Jika mahu lebih memahami bagaimana dunia pasca-moden berfungsi, buku ini ada jawapannya. Secara ringkas, buku ini menceritakan bagaimana kehancuran Soviet dan keruntuhan tembok Berlin adalah perubahan dramatik pasca Perang Dingin. Malah ia juga menandakan kejayaan kapitalisme serta demokrasi liberal di seluruh dunia.

Buku ini sedikit berat tetapi sangat berpengaruh di seluruh dunia bermula sekitar awal 1990-an lagi. Menurut Francis Fukuyama, ideologi tidak lagi penting dan di situlah bermulanya proses evolusi yang baharu di mana wacana demokrasi liberal barat merupakan bentuk paling muktamad dalam mana-mana pentadbiran.

Percayalah, jika anda membaca buku politik ini, buku roma anda akan meremang kerana memahami realiti lebih menakutkan daripada ternampak hantu di simpang jalan yang sunyi.


5. The Ocean At the End of the Lane karya Neil Gaiman

Diterbiktkan pada tahun 2003, sesiapa yang mengikuti perkembangan Neil Gaiman selaku novelis prolifik dunia akan sentiasa terpesona dengan isu-isu yang diangkat dan jungkir balik yang sangat epik. Penulis kelahiran Hampshire, England ini pernah memenangi anugerah Hugo, Nebula, dan Bram Stoker.

Buku The Ocean At the End of the Lane ini telah tercalon sebagai Book of The Year dalam British National Book Awards. Kita harus berterima kasih kepada kepada penerbit Fixi di bawah Fixi Verso kerana telah menterjemah buku ini untuk tatapan semua pembaca dalam Bahasa Melayu.

Tajuknya telah diterjemah kepada Lautan Di Hujung Lorong.


6. Joyland karya Stephen King

Satu lagi karya terkenal yang telah diterjemah oleh Fixi Verso iaitu karya penulis seram dan supernatural terkenal dunia, Stephen King. Penulis yang telah menggunakan beberapa nama pena seperti Richard Bachman, John Swithen dan Beryl Evans ini telah menuliskan sekurangkurangnya 61 buah novel, 200 cerpen, dan telah memenangi banyak anugerah. Yang terbaru, Stephen King memenangi National Medal of Arts daripada United States National Endowment for the Arts.

Joyland ialah sebuah cerita seram, misteri dan cerita jenayah yang ngeri.


7. Animal Farm karya George Orwell
https://www.itbm.com.my/buku/politik-kandang

Jika mahukan karya yang menggeletek dan penuh satira tentang senario politik mana-mana negara, buku ini ialah buku yang sangat tepat. Kali pertama karya penuh alegorikal ini terbit ialah pada tahun 1945.

Karya ini menceritakan tentang sekumpulan binatang yang tidak puas hati dengan penternak mereka dan mahukan hak kemerdekaan dan kesamarataan yang adil. Sejak 1923 sehinggalah 2005, majalah Time telah menyenaraikan novel ini sebagai 100 novel Inggeris terbaik dunia.

Hari ini, novel yang hebat ini boleh dibaca di dalam Bahasa Melayu kerana ia telah diterjemah oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM).


8. Mukadimah karya Ibn Khaldun

Di dunia akademia, buku ini sangat berpengaruh. Ibn Khaldun merupakan seorang tokoh sosiologis, ahli falsafah, sejawaran dan teoris yang sangat terkenal dalam tradisi keilmuan Islam. Buku ini sebenarnya hanya merupakan mukaddimah kepada buku sejarah Ibn Khaldun yang agung iaitu Kitābu l-ʻibar yang bermaksud “Buku Pengajaran”.

Buku ini telah berjaya menghurai teori ketamadunan, jatuh bangun sesebuah bangsa dan bagaimana masyarakat berfungsi di dalam proses pembangunan sesebuah empayar atau negara. Pendek kata, jika mahu jadi pandai, bacalah buku.

Buku ini telah diterjemah oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.


9. As-Syamail Al-Muhammadiyah karangan Imam Al-Tirmidzi

Orang Islam tentu tidak akan terlepas daripada mentelaah buku ini. Imam Al-Tirmidzi telah mengumpulkan hadis-hadis sahih tentang keperibadian Baginda Nabi SAW dan telah menjadi rujukan sehingga hari ini. Biar jauh sekali jarak antara Nabi SAW dengan umat Islam hari ini, tetapi membaca buku ini akan menjadikan Nabi SAW berada dekat dan lebih dikenali.

Buku ini telah disyarah, disusun dan dicetak berulang kali. Buku ini telah diterjemah oleh banyak pihak dan diterbitkan oleh beberapa penerbit terkemuka seperti PTS, Telaga Biru dan Kemilau Publika.


10. Mathnawi karya Rumi
https://www.itbm.com.my/buku/karya-agung-mathnawi-jalaluddin-rumi-6-vol-set

Buku terakhir sekali, tidak lain tidak bukan ialah buku yang sangat agung ini. Mathnawi karya tokoh besar dunia, Jalaluddin Rumi, atau lebih dikenali sebagai Rumi.

Rumi merupakan seorang ahli fikah, teologis, dan seorang sufi. Kisah tokoh besar ini bermula sejak abad ke-13 dan terus gemilang sehingga hari ini. Nama Rumi hari ini juga telah menjadi terkenal di seluruh dunia. Karya-karya Rumi dibaca, diulang cetak, dilagukan, difilemkan dan seringkali dibahas di pelbagai peringkat.

Tokoh kelahiran Afghanistan ini mempunyai kisah yang sangat magis dan tragis. Beberapa cendekiawan yang mengkaji Rumi mengatakan bahawa Rumi hanya mempunyai satu buku, iaitu Mathnawi, yang merupakan kumpulan syair sufistik Rumi dan mempunyai enam jilid dengan ketebalan sekurang-kurangnya 700 halaman setiap jilid.

Buku ini telah lengkap diterjemah ke dalam Bahasa Melayu penuh oleh Mohd Ajmal Abdul Razak Al-Idrus dan telah diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia.