Buku

Menara Condong Teluk Intan

Penulis: Zabidin Haji Ismail

ISBN: 9789674300470

Tahun Terbit: 2014

Harga: RM 15.00 / 20.00 (Sabah & Sarawak)

Kategori: Sastera, Biografi/Memoir

Beli Dalam Talian:

Lazada

Walaupun menara ini sudah terlalu tua, bentuk pagodanya masih berupaya memukau mata pengunjung Bandar Teluk Intan. Bumbung puncaknya mirip tudung saji, manakala bumbung serambi pula berbentuk pisang sesikat. Dari jauh bangunannya kelihatan seperti memiliki lapan walhal apabila dipandang dari jarak dekat, menara ini hanya ada tiga aras sahaja. Kira-kira 110 anak tangga dibina secara melengkung dan menghubungkan setiap tingkat. Konkrit asas bangunan diperbuat daripada susunan batu bata melebar, kira-kira 14.3 meter garis pusat ukuran tapak, tetapi menguncup ke atas sebanyak sembilan meter.

Bumbung pisang sesikat dan tiga buah serambi yang melengkung meliliti bangunan asas seolah-olah menyembunyikan susunan batu bata itu. Di bawah bangunan terdapat sebuah telaga yang mengandungi air sedalam 4.3 meter sebagai pengimbang struktur bangunan sekiranya berlaku sebarang gegaran yang kuat di persekitarannya. Pada awal abad ke-20, menara ini berfungsi sebagai takungan air yang di sedut daripada Sungai Perak untuk keperluan 8,000 penduduk setempat, tetapi kini tidak lagi sedemikian. Sebaliknya, menara ini menjadi tersohor pula kerana bangunan asasnya kelihatan condong kira-kira satu darjah dari sebelah barat laut, seolah-olah mengingatkan umat islam hala kiblat, disamping masa melalui dentingan jam gadangnya yang berbunyi setiap 15 minit. Dentingan ini mampu didengari sejauh lima kilometer, terutama ketika malam hening. Itulah antara keunikan menara condong Teluk Intan yang siap dibina pada tahun 1885 di atas timbusan tanah bekas sebatang terusan buatan manusia. Menara ini terletak di sudut Jalan Selat yang bersebelahan dengan Jalan Bandar – betul-betul berada di jantung Bandar Teluk Intan; bandar ketiga terbesar di selatan negeri Perak Darul Ridzuan. Kini, menara ini berstatus sebagai menara condong kedua di dunia selepas Pisa di Itali.