Blog

Puisi Tentang Kuala Lumpur

Wilayahku_4-10_September_2020_1

Puisi Tentang Kuala Lumpur
Oleh Anuar Manshor

(Tersiar di akhbar WilayahKu 4-10 September 2020)

PUISI – barangkali hanya bernafas atau terasa getarannya apabila ia dideklamasikan di majlis-majlis tertentu atau khalayak yang khusus.

Namun apabila bait-bait puisi itu terpapar di dinding stesen LRT Masjid Jamek, atau termateri kemas di laluan pejalan kaki di dalam Publika, atau dipamerkan di dalam Galeri Petronas KLCC, puisi nampak sangat hebat ataupun kelihatan begitu cool.

Sesetengah orang menganggap dunia puisi milik dunia penulis atau dunia pensyair sahaja. Namun apabila kata-kata indah digunakan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang antaranya berbunyi, “... bayu telah bertiup, layar telah dilabuhkan, bahtera telah berada di air….” semasa menggulung Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan Covid-19 2020, banyak netizen mengagumi kepuitisan teks penggulungan beliau di Parlimen.

Prejudis terhadap puisi tidak perlulah dipanjang-panjangkan. Realitinya, puisi boleh ditulis, dideklamasikan atau dihayati sesiapa sahaja waima anak-anak kita di bangku sekolah sekalipun. Menurut Sasterawan Negara Dato’ Baha Zain, “... juga untuk masyarakat biasa yang bersedia dipujuk ke jalan yang benar melalui puisi yang mudah dibaca, dan relevan dengan kehidupan semasa.”

Kali ini, penulis berkongsi beberapa puisi berkenaan Kuala Lumpur yang dihasilkan oleh beberapa sasterawan berdasarkan pemerhatian mata dan perasaan mereka sepanjang menetap di Ibu Kota ini.

Kuala Lumpur Oh! Kuala Lumpur

Di Sini
Segala-galanya ada,
Kecuali
Ibu dan bapa

Segala-galanya boleh dibeli,
Dari hujung rambut ke hujung kaki
Seluar dalam dan singlet,
Kutang dan jaket,
Malahan politik

Di Petaling Street
Jualan murah Rolex.
Di Chow Kit
Serbuk mas cotek
Viagra dan ubi jaga

Di Lorong Haji Taib
Nike, Boss dan jaket kulit.
Di situ, perempuan atau lelaki, kita tak tahu,
Bersidai di muka pintu

Jalan Bukit Bintang?
Ada KFC dan al-Tarbusi,
Burger, kebab, nan, beer, wiski
Refleksologi dan urut bodi
Juga jejaka macho dan banci
Bukit Bintang jalan sehala hibernasi

Di Jalan Masjid India
Ada Melayu dan Cina,
Jawa, Banjar, Kantonis dan Hakka,
Nasi padang dan putu mayam,
Tak kurang juga Bangladesh, Myanmar dan Indonesia.
Satu Malaysia

Kuala Lumpur, Oh! Kuala Lumpur.
Kota Kita
Kotamu dan kotaku,
Berdenyut dan bernafas sepanjang waktu:
Ada bentuk tanpa wajah,
Ada wajah tanpa identiti,
Ada identiti tanpa jiwa,
Ada jiwa tanpa maruah,
Ada maruah tanpa keberanian,
Ada keberanian tanpa keyakinan,
Ada keyakinan tanpa tuhan.
Samalah seperti tidak ada apa-apa,
Negara atau sejarah,
Kecuali kekuasaan dan duit,
Kerana takut,
Celaka,
Dan,
Bangsat

Baha Zain dalam puisi di atas merakam dan juga menyindir semua tempat yang “perlu singgah” jika ke Kuala Lumpur; iaitu Petaling Street, Chow Kit, Lorong Haji Taib, Jalan Bukit Bintang, dan Jalan Masjid India. Apa yang boleh didapati di tempat-tempat itu pun disenaraikan satu persatu oleh Baha Zain sama ada barangan untuk dibeli ataupun situasi yang menjadi ciri utama (trademark) kawasan tersebut.

Ia sebagaimana puisi Fan Yew Teng berjudul “Kuala Lumpur! Kuala Lumpur!”;

Kuala Lumpur, Kuala Lumpur
aku gemari nasi lemakmu di Gombak
itik panggangmu dari Pudu
kari kambingmu di Brickfields
bak-kut-tehmu di Kepong
nasi berianimu di Kampung Baru
air tebumu di Cheras
tapai semaianmu di Jalan Klang Lama
pokok senamu di Jinjang
setanggimu di Lebuh Ampang
pasar malammu di Jalan Petaling
nasi ayam Hainanmu di Jalan Sultan
dan tawaran ghairahmu sepanjang Batu Lane.

Namun kehidupan di ibu kota ini realitinya penuh dengan mehnah dan tribulasi. Begitulah dikongsikan oleh Baha Zain dalam satu lagi puisi berjudul “Pengungsi Kota”, yang menjelaskan bahawa segala harapan di Kuala Lumpur mungkin fatamorgana semata-mata;

Kuala Lumpur yang gah dan ganas
Kuala Lumpur yang sesak dan lemas
Bercerai kenyataan daripada khayalan
Indah khabar daripada rupa
Indah kelopak daripada harumnya

Ia tidak jauh maksudnya sebagaimana yang dizahirkan oleh T. Alias Taib dalam puisi “Kuala Lumpur”;

Dalam keriuhan dan kesibukanmu
kutemui kehancuran
di wajah seorang tua
tertidur di kaki lima
kulihat bunga sebuah impian
tak berwarna
pecah dan layu
terkulai di bibirnya

Faktor kecundangnya impian sebagaimana digambarkan dalam puisi Baha Zain dan T. Alias Taib di atas realitinya amat disedari semua penghuni kota. Namun untuk hidup berjuang dan berjaya di situ, Ee Tiang Hong nukilkan petuanya dalam puisi “Kuala Lumpur”;

Kedai serta pejabat,
Syurga perniagaan,
Di mana kemajuan, keamanan, kemakmuran
Kereta-kereta, bangunan-bangunan ini melambangkan
Manusia tetap mengorak langkah
Diilhamkan daya usaha.

Dari segi luaran pula, situasi di Kuala Lumpur ternyata menggusarkan banyak pihak. Pyanhabib dalam puisi “sayur bahasa” juga memerihalkan kekhuatiran beliau tentang keragaman bangsa yang menghuni ibu kota ini;

– setiap orang
punya bahasa –
bahasa-bahasa
suku-suku bangsa
bertempur
di tengah-tengah kota
hingga
lidah tergeliat
bahasa terseliuh!

Begitu jugalah kerisauan yang digambarkan oleh Zaharah Nawawi dalam puisi “Kuala Lumpur yang Sakit”;

Kemilau dinding kaca
yang dibina merata ceruk kota
keindahan dan kehijauan lambang kedamaian syurga
tidak menjangkit pada budi bahasa penghuninya
ceria hati budi rakyat Kuala Lumpur turut tersita.

Apa-apapun, Volker Wolf, warga Jerman melihat Kuala Lumpur tetap mempunyai keindahannya yang tersendiri. Dalam “KL – Sebuah Kaleidoskop”, Volker menulis secara ironinya;

KL
Gelaran manja
ingin bersatu hati
indeks kehijauan
kepekaan idea
lubuk kekayaan alam
habitat semula jadi, keajaiban iklim
bekas legenda eksotik
syurga makanan
kaleidoskop, asal usul manusia.

Anuar Manshor
Pengurus Pembangunan Perniagaan ITBM

Rujukan buku:
1- Kumpulan Puisi Terpilih Baha Zain
2- Balada Pyanhabib
3- Kuala Lumpur-Berlin: Kisah Dua Bandar Raya