Blog

Buku Teman Setia Sepanjang Masa

Buku_Teman_Sepanjang_Masa_1

PELBAGAI ragam manusia di sana sini turut mempengaruhi objek dalam dunia ini. Sebagai makhluk yang bernyawa, segala hal dan kerenah tidak dapat dielakkan.

Begitulah juga buku. Ia “bernyawa” dan memberikan manfaat jika mahu mengambil pengajaran daripadanya. Kita berasa buku bagai bernyawa apabila kita berada dalam keadaan kritikal, ketika menjelang peperiksaan, ketika memerlukan maklumat tertentu dengan kadar segera, untuk membantu kemajuan kerjaya dan segala macam keperluan lagi. Begitulah layanan kita terhadap buku.

Yang pasti, buku tetap berpengaruh besar kepada kehidupan kita. Cendekiawan Arab dahulukala pernah mengatakan bahawa buku merupakan teman setia yang terbaik. Ia tidak pernah mengecewakan kita.

Ia (buku) tetap di situ dan bersedia berkhidmat kepada kita. Ahli sufi klasik Islam tersohor, Ibnu Arabi, pernah menceritakan penyataan seorang ulama tentang buku:

“Belum pernah kulihat kebun buah-buahan yang dapat diletakkan di lengan baju atau taman bunga yang dapat dibawa dalam pangkuan. Dia dapat mengisahkan orang yang telah meninggal, dan berbicara tentang orang yang masih hidup. Di manakah akan Tuan peroleh seorang teman yang belum tidur kala Tuan telah tidur? Yang disebutnya hanyalah yang Tuan sukai. Dia lebih pandai menyimpan rahsia tuan daripada tuan sendiri. Dia adalah tetangga yang lebih setia kepada tetangganya, teman yang paling jujur, guru yang paling ramah, dan kawan yang paling jauh daripada jemu dan bosan.” (Ahmad Shallaby, 1976)

Teman yang akrab sekalipun mungkin sahaja memutuskan persahabatan, teman hidup yang sekian lama bersaudara mungkin sahaja memutuskan pertalian. Itulah manusia dengan dunianya yang penuh kompleksiti dan kadangkala sukar difahami.

Memang dengan manusia kita sering kecewa, lalu kekecewaan itu dikembalikan kepada buku. Ia (buku) seolah-olah mengerti, bersedia memberikan harapan, membangkitkan kembali semangat kita yang kadangkala hilang. Rasanya tidak akan berlaku pada seorang teman bernama BUKU kerana Islam sendiri mengakuinya sebagai pantulan IQRA’.

Bacalah untuk menerangi hidup anda, membunuh kejahilan anda, bahkan untuk menguasai dunia dan akhirat. Rasanya tidak ada lagi alat yang tarikannya seperti “penghidup”, “penyaksi” dan “perakam” kepada kelangsungan peradaban manusia melainkan BUKU.

Oleh sebab itulah buku layak menjadi teman yang setia kerana keunikannya, keunggulannya, kesetiaannya, keasyikannya dan daya pikatnya yang luar biasa.

Ketika penulis “menghadirkan” buku Keanehan dan Keunggulan Buku (2020), ia telah mendapat sambutan yang baik daripada pembaca. Banyak teman mengatakan jarang-jarang sebuah buku ditulis tentang “buku dan dunianya” yang tersendiri.

Dalam buku itu penulis mencatatkan bahawa buku adalah teman yang mempesonakan bahkan humor kerana jarang-jarang kita mengisahkan bahawa pencinta buku adalah sahabat setia buku.

Untuk itu, penulis berasa bahawa buku dan dunianya yang penuh dengan keunikan, keanehan dan keunggulan perlu diterokai dan didedahkan kepada pembaca supaya kita benar-benar menghargai BUKU. Apabila tahu menghargainya, kita akan tahu menjaganya dan memanfaatkannya supaya ia akan terus mewarnai hidup kita, layaknya seperti kita dan pasangan hidup.

Sememangnya dunia buku amat mengasyikkan, unik dan memikat sehingga daripada kepelbagaian ragam buku mampu membuat kita ketawa, menangs, marah, membangkitkan semangat dan motivasi diri, memperkaya spiritual kita bahkan kadangkala kita tenggelam dalam keasyikannya tanpa menyedari waktu berjalan terus.

Itulah nikmat menghadirkan diri dalam dunia buku. Rasanya buku dan dunianya benar-benar mengajar kita menghargai masa dan tidak “membunuh” waktu begitu sahaja.

Pada 23 April setiap tahun kita meraikan Hari Buku Sedunia. Walaupun sejarah perayaannya bermula dari Barat, yakni Sepanyol, tidak salah rasanya kalau kita meraikannya secara besar-besaran sebagaimana kita sering berpesta-pestaan tanpa tujuan yang jelas atau merayakan “Hari Kekasih” (Valentine’s Day) yang belum tentu setia kepada kita.

Maka, merayakan Hari Buku Sedunia membuktikan ikatan kesetiaan yang tidak akan putus dan berakhir. Hal ini adalah kerana manusia tetap akan mati, tetapi buku akan terus hidup tanpa jemu-jemu mewarnai sesiapa sahaja yang ingin dan sudi menjadi “kekasih” dan “teman setianya”.

Dipetik daripada buku BIBLIOHOLISME: Menelusuri Pesona Dunia Buku dan Pencintanya oleh Shaharom TM Sulaiman.