MERAIKAN RATIB KALBU SUTUNG UMAR RS

MERAIKAN RATIB KALBU SUTUNG UMAR RS

BERITA HARIAN - 31-01-2015


APABILA U-Wei Bin Haji Saari peduli seni maka kita perlu turut peduli. Beliau bukan sekadar pengarah filem tersohor atau pengarah teater. Beliau juga pemikir serta pembaca tegar. Pada acara Meraikan Sutung Umar RS Melalui Ratib Kalbu di Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) baru-baru ini, U-Wei diberi tanggungjawab untuk membuat persembahan puisi karya Sutung Umar RS itu.

 

Acara anjuran ITBM dengan kerjasama Tanah Licin Sdn. Bhd. dan Morne Gallery itu bertujuan merai penyair Sutung Umar RS yang menulis puisi terpanjang negara ini, Ratib Kalbu. Puisi ini dimuatkan dalam buku 499 halaman berserta bibliografi.

 

Mengapa Sutung Umar RS perlu diraikan? Beliau bekas Ketua Editor Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan bekas Editor Sastera Berita Harian. Bukan seratus dua penulis yang lulus tapisan ketatnya. Malah acara baca puisi di Rumah Pena sejak 15 tahun lalu dicetuskan oleh Sutung Umar RS dan sebagai mengenang jasanya, Pena menamakan pentas baca puisi sebagai Panggung Sutung Umar RS bagi mengenanginya jasanya. Beliau memunyai sepuluh buah karya bernilai kerohanian. Kesungguhan beliau luar biasa, dan pada usia 67 itu sewajarnya Sutung Umar RS diraikan.

 

Saya cuba memahami mengapa U-Wei memilih 20 ragam orang pembaca puisi daripada seniman serba boleh hingga kepada penuntut. Ada pegawai penjara (Hang Jebat Abd. Rahman), peguam (Dalila Daud). Usahawan IT (Nora Zali), Pengurus Kanan (Hamidah Hassan), jurutera (Rebecca Ilham), pelukis (Jayshree), pelajar (Seri Amalina dan Ahmad Muthmain Ahmad Saufi), kartunis (Sireh), jurugambar (Jo Ghazali), pemilik galeri (Morne Hashim), Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron dan U-Wei sendiri. Kumpulan Pasiban menjadi pemuzik latar.

 

Persembahan Rahimidin Zahari, Sabri Yunus, Sani Sudin dan Dinsman tidak menghampakan. Seperti selalu, setiap kali muncul di pentas puisi mereka sudah bersedia. Puisi dan pentas sudah lama sebati dengan mereka. Malam itu Sabri Yunus agak berbeza, hampir sepanjang penampilan dia merapatkan badan ke lantai.

 

Kejutan pada malam itu apabila Rosnan Rahman aktivis makyung mempersembahkan puisi dalam gerak dan alunan makyung. Saya dan semua penonton terdiam kecuali jari tidak putus-putus membidikkan kamera. Saya memikirkan apakah bezanya pentafsirannya dengan tarian sufi yang terkenal di Turki dan Asia Barat?

 

Malah ada sebab mengapa U-Wei memilih pelakon Melissa Saila dan Sofea Jane. Mereka ini tetap bawa disiplin seni yang perlu ada pada setiap artis. Naskhah mesti cair dahulu sebelum dipindahkan kepada khalayak. Malam itu mereka tetap merujuk dengan salinan puisi di tangan, takut terbabas dengan ayat-ayat hukum. Apapun mereka tetap gementar apabila berhadapan dengan penonton.

 

Penyampai boleh mengolah suara dan gerak tubuh dengan baik. Namun begitu, menyampaikan puisi kerohanian perlu persiapan dan pengetahuan tambahan. Lebih baik kalau penyampai itu tahu hokum-hakam yang dipetik dan memahami tafsiran penulisnya. Tetapi agak malang kalau muncul di pentas sekadar menyampaikan hafalan sahaja.

 

Bagi yang biasa dengan puisi kerohanian, pada "air suara" kita, dia boleh kenal sama ada kita faham atau tidak apa yang kita baca. Pada roma dia boleh rasa sama ada kita sampai atau tidak apabila melontarkan siratan maksud.

 

Apabila saya perhatian jenama besar penonton malam itu dan penonton melimpah tentu ada perkara yang ingin dilihat selain daripada 'meraikan'. Apa yang boleh saya katakan ialah kita di negara ini belum cukup lagi terdedah dengan persembahan atau pembacaan puisi kerohanian.