Malam Mengenang Kasih Sasterawan Negara Usman Awang & Pelancaran Buku "Di Bawah Bayang Tulip Merah"

Malam Mengenang Kasih Sasterawan Negara Usman Awang & Pelancaran Buku "Di Bawah Bayang Tulip Merah"


KUALA LUMPUR, 16 Julai – Sempena memperingati bulan kelahiran Allahyarham Sasterawan Negara (SN) Dato’ Usman Awang, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Yayasan Usman Awang (YUA) hari ini melancarkan sebuah terbitan baharu bersama, iaitu buku Antologi Cerpen Inspirasi Sajak-sajak Usman Awang Di Bawah Bayang Tulip Merah. Pelancaran yang diadakan di Kelab Taman Perdana Diraja, Kuala Lumpur sempena Malam Mengenang Kasih Sasterawan Negara Usman Awang ini dihadiri oleh Dr. Syed Husin Ali (Pengerusi Lembaga Penasihat YUA), Encik Mohd Khair Ngadiron (Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif ITBM), selain Ahli Lembaga Penasihat YUA, waris keluarga, rakan-rakan sasterawan dan peminat serta penggiat sastera pelbagai peringkat umur.

Antologi Cerpen Inspirasi Puisi Usman Awang

Buku antologi ini diusahakan untuk mengangkat karya-karya puisi terpilih SN Dato’ Usman Awang dalam bentuk cerpen inspirasi. Buku ini memuatkan 10 buah cerpen yang ditulis oleh penulis tempatan, seperti Haizir Othman dengan karyanya Beringin Sarah; Norfazliana Mohd Yusof atau Aji Wa (Bangkit); Asmah Hashim (Di Bawah Bayang Tulip Merah); Mamu MK Hasny (Air Mata Ramadan nan Berlalu); Siti Rozilah (Dia Anak Banduan); Baharuddin Sairi (Nota Terakhir); Siti Ishah Shamsudin (Keributan Hati); Ismail Hashim (Rumah Kecil Bapak); A. Hamid Halim (Pohon Bersejarah); dan Samiron Rahmat (Seorang Wanita dari Mandala Alma Mater).

Penerbitan buku ini bermula daripada projek “Antologi Sajak Jadi Cerpen” yang diusahakan sebelum ini. Menerusi projek ini, sebanyak 255 penyertaan telah diterima daripada penulis tempatan daripada pelbagai latar belakang – sama ada yang telah lama berkecimpung dalam dunia penulisan, mahupun yang baru sahaja berjinak-jinak dengan bidang ini. Daripada jumlah penyertaan tersebut, Ahli Lembaga Penasihat YUA telah memilih 10 cerpen terbaik yang menepati kehendak dan maksud projek ini. Melalui usaha ini, penulis secara tidak langsung dapat menyelami perjuangan SN Usman Awang melalui penulisan sejak sekian lama yang kekal segar sehingga kini. Selain itu, ia turut membuka peluang kepada generasi penulis baharu yang tidak sezaman dengan SN Usman Awang untuk menghayati dan lebih menghargai karya hebat, jasa dan sumbangan beliau selama ini.

Memperingati Kelahiran Tokoh Penulisan Negara

Malam Mengenang Kasih Sasterawan Negara Usman Awang merupakan sebuah acara yang julung kali diadakan sempena memperingati hari kelahiran SN Usman Awang pada 12 Julai 1929. Malam acara ini diserikan dengan bacaan puisi oleh pendeklamasi seperti Dato’ Faridah Merican, Dato’ Rahim Razali, Joe Hasham dan Omar Ali; persembahan khas oleh pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Klang Utama dan Kolej New Era serta persembahan puisi muzikal oleh Amran Ibrahim Rashidi. Kesemua persembahan ini merupakan apresiasi kepada karya hebat yang dihasilkan oleh SN Usman Awang sepanjang hayatnya yang kekal segar sepanjang zaman.

Buku Di Bawah Bayang Tulip Merah dijual pada harga RM25.00 senaskhah dan boleh dibeli terus di Kedai Buku ITBM di Seksyen 10, Wangsa Maju. Selain itu, buku ini juga boleh dibeli secara dalam talian menerusi laman web www.itbm.com.my atau talian WhatsApp: 0192219015.

 

 

# # # # #