ITBM Logo

Khidmat Terjemahan

Misi anda terhalang disebabkan masalah bahasa? Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) sedia membantu, menyampaikan mesej dikehendaki, dan seterusnya menjadikan komunikasi anda lebih mudah. Kami menyediakan khidmat terjemahan yang berkualiti, selain menjamin setiap tugasan dikendalikan secara teliti dan berhemah – hasil dedikasi kumpulan kerja yang berpengalaman mengendalikan pelbagai dokumen berbeza secara pantas dan tepat.

Di ITBM, kami menyediakan khidmat terjemahan profesional hampir dalam semua bidang dengan kualiti serta harga terbaik. Kelebihan berurusan di ITBM adalah semua bahan tidak sekadar diterjemah, tetapi juga disunting oleh editor, dan disemak oleh pembaca pruf untuk memastikan perkataan yang digunakan tepat serta sesuai.

Selain itu, editor juga bertanggungjawab memelihara gaya bahasa serta nuansa yang sesuai, bertepatan mengikut bahan sumber, dan pada masa yang sama, sentiasa memastikan ia memenuhi kehendak dan keperluan pelanggan.

Kami memiliki sekumpulan tenaga kerja berkaliber yang terdiri daripada penterjemah dan editor berpengalaman serta pembaca pruf yang teliti. Ini selaras dengan misi kami untuk menawarkan khidmat terjemahan berkualiti tinggi dengan terjemahan yang dihasilkan sama seperti teks sumber. Jaminan kami di ITBM, kami menawarkan khidmat terjemahan dengan kualiti terbaik pada harga yang berpatutan.

PROSES PENTERJEMAHAN DOKUMEN

- Dokumen yang ingin diterjemahkan boleh dihantar melalui e-mel kepada Pegawai Khidmat Pelanggan (masliza@itbm.com.my / amira@itbm.com.my / athiqa@itbm.com.my) dan Bahagian Jualan & Pemasaran Khidmat (sales@itbm.com.my) atau pelanggan boleh datang sendiri ke kaunter Khidmat Pelanggan ITBM.

- Waktu berurusan Kaunter Khidmat Pelanggan ITBM:

  • Isnin - Khamis: Dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang.
  • Jumaat: Dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang (waktu rehat jam 12.30 tengah hari hingga 2.45 petang). 

- Keperluan bagi khidmat terjemahan sijil (sijil kelayakan akademik dan profesional, pasport, surat rasmi kerajaan, sijil lahir dan sebagainya) : 

  1. Jika datang sendiri, pelanggan perlu membawa dokumen asal atau salinan fotostat bahan yang jelas dan diperakui sah oleh Pegawai Kerajaan atau Badan Berkanun atau Penghulu / Ketua Kampung / Pengerusi JKKK / Pengetua / Guru Besar / Pesuruhjaya Sumpah atau pihak yang diperakui pengesahannya oleh Jabatan Perkhidmatan Awam. 
  2. Jika urus niaga dibuat melalui e-mel, pelanggan perlu menghantar ("imbas/scan") dokumen asal yang diperakui sah oleh pihak yang tersenarai dalam (1) di atas. 
  3. Keterangan/perakuan bertulis sekiranya butiran pada bahan asal tidak jelas atau sila kemukakan dokumen rujukan seperti salinan kad pengenalan, pasport dan sebagainya mengikut keperluan terjemahan bahan. 

- Masa yang diambil untuk menterjemah sekeping sijil adalah minimum tiga (3) hari bekerja. Namun, tempoh ini bergantung pada bilangan halaman, bahasa sumber, bahasa sasaran dan jenis dokumen. 

- Bagi penterjemahan bahan selain sijil, masa yang diambil bergantung pada bilangan halaman, bidang (teknikal, undang-undang, sains, umum dan sebagainya), bahasa sumber, bahasa sasaran dan jenis dokumen.

KADAR BAYARAN

ITBM menangani setiap projek mengikut keperluan. Justeru, kadar bayarannya berbeza bergantung pada faktor berikut:

  1. Bahasa sumber dan bahasa sasaran.
  2. Jumlah perkataan.
  3. Jenis teks: Umum atau khusus (teknikal).
  4. Tempoh siap tugas: Biasa atau segera.
  5. Sebarang keperluan lain.

Potongan harga diberikan mengikut nilai projek terjemahan.

Bahan yang hendak diterjemahkan boleh diserahkan melalui pos, faks atau e-mel.

Pembayaran 

  1. Bayaran boleh dibuat secara tunai, kad kredit, cek, wang pos, draf bank, deposit tunai. Jika bayaran dibuat melalui cek, wang pos, draf bank, pembayaran hendaklah dibuat atas nama "Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad". Terjemahan hanya akan dilakukan selepas pembayaran dibuat sepenuhnya.  
  2. Bagi urus niaga yang dibuat melalui e-mel, pelanggan hendaklah menghantar ("imbas/scan") melalui e-mel bukti pembayaran.

Kadar bagi Khidmat Terjemahan Segera

Nota: Caj tambahan bagi khidmat terjemahan segera dikenakan dengan kenaikan kos tambahan antara 25 peratus - 50 peratus (perkhidmatan ini tidak termasuk hari Sabtu, Ahad, dan cuti umum). Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Bahagian Pemasaran & Jualan Khidmat.