SEJUMLAH 30 buku karya asli terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) yang dilancarkan baru-baru ini disaring melalui proses penerbitan yang menjadi amalan biasa setiap penerbit di dunia.
Pengerusi ITBM, Datuk Shahruddin Md Salleh berkata, penerbitan itu juga melepasi sasaran awal 10 buku yang ditetapkan selepas pengumuman fungsi baru ITBM yang dulunya Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), sebagai penerbit karya asli penulis tahun lalu. “Manuskrip yang diterima terlebih dulu akan dinilai pakar sebelum disenaraikan untuk dipilih dalam Jawatankuasa Pemilih Judul Buku Karya Asli dan seterusnya dinilai dalam tempoh dua minggu untuk diterbitkan.
“Ia dilaksanakan bagi memastikan manuskrip yang diperoleh daripada penulis siap dalam tempoh tiga hingga enam bulan seperti yang ditetapkan sebelum ini,” katanya pada majlis pelancaran yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini.
Beliau berkata, sejak diberi tanggungjawab untuk menerbitkan karya asli penulis, ITBM sudah menjelajah ke seluruh negara bagi memberi kefahaman mengenai hala tuju dalam penerbitan buku ITBM.
“Hasil pertemuan dengan penulis dalam siri jelajah berkenaan sehingga ke hari ini kami sudah menerima 190 manuskrip dalam pelbagai bidang yang diterbitkan dalam bahasa Melayu dan Inggeris,” katanya.
Penyelaras dan penulis buku, Pengakuan Penyair, Shamsudin Othman pula berkata, penerbitan buku berkenaan akan membolehkan pembaca mengetahui dengan lebih terperinci mengenai 34 penyair ternama negara ini.
“Buku berkenaan mengandungi penceritaan semula proses kreatif oleh penyair ternama seperti Datuk Baha Zain, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala, Abdul Ghafar Ibrahim atau Agi dan Rahimidin Zahari.
“Ia adalah satu-satunya antologi rencana mengenai penyair di Malaysia dan saya amat gembira ia dapat diterbitkan sebagai salah satu daripada 30 karya asli oleh ITBM,” katanya.
Penulis kumpulan cerpen, Audi Alteram Partem, Aidil Khalid pula berpendapat, tawaran ITBM untuk menerbitkan karya asli penulis membuka peluang kepada ramai penulis untuk menerbitkan manuskrip mereka yang sebelum ini tidak dapat diterbitkan.
“Kumpulan Cerpen terbabit mengandungi 17 cerpen yang dihasilkan bermula dari 2006 sehingga tahun ini. Kumpulan cerpen itu turut disertakan dengan proses kreatif yang menceritakan latar belakang setiap cerpen,” katanya.
Antara buku lain yang diterbitkan ialah Memori Bukit Pantai oleh Omar Mamat, Buaya Tembaga (Azmah Nordin), Cinta Senafas Angsa (Tuah Sujana), Gunting (Marsli N O), Inspirasi Cinta (Rozninah Abd Azib), Selamat Datang Ke Malaywood (Roslan Jomel), Pandirnya Si Pandir (Khalid Salleh), Biar Puisi Menjadi Peluru (Saifullizan Yahaya), Bijak Si Katak Bijak (Siti Zainon Ismail) dan Cendera Hati Kasih (Ida Munira Abu Bakar).
