PAGOH 13 Mac – Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) berhasrat menganjur sekali lagi Program Kembara Jejak Bahasa Pelajar Malaysia-Jepun tahun depan berikutan sambutan yang menggalakkan tahun ini.
Ketua Bahagian Perhubungan Awamnya, Norzaiti Abdul Talib berkata, program itu dilihat sebagai platform terbaik untuk melatih para peserta iaitu penuntut dari Tokyo University of Foreign Studies (TUFS) memahami dan mempraktik bahasa Melayu.
"Program ini juga membolehkan penuntut asing itu berkongsi pengalaman dengan pelajar di sini selain mendedahkan mereka tentang kehidupan masyarakat Melayu.
"Di samping itu, ia juga memenuhi matlamat asal iaitu meningkatkan mutu pendidikan bahasa Melayu serta memperkenal dan mengembangkan budaya masyarakat setempat kepada mereka," kepada pemberita di sini baru-baru ini.
Program anjuran ITBM dengan kerjasama Anjung Ilmu@DUN Jorak dan Pejabat Pelajaran Daerah Muar serta TUFS itu menghimpunkan 11 penuntut pengajian Bahasa Melayu TUFS dan dua orang pensyarah.
Ia berlangsung selama 12 hari bermula 28 Februari dan berakhir Sabtu lalu yang diisikan dengan pelbagai aktiviti termasuk sukan, program memasak makanan tradisional Johor, program anak angkat, melihat umat Islam menunaikan solat Jumaat dan menghadiri tahlil serta majlis kenduri.
Norzaiti berkata, pihaknya gembira kerana masyarakat kampung sentiasa menghulurkan bantuan dalam pelbagai segi demi menjayakan program tersebut.