ITBM Logo

Berita

Godam: ‘Jangan lena dibuai dana’

05 Jul 2012 - Berita Harian

 

GODAM yang membuka 'silatnya' dalam Berita Harian lebih dua tahun lalu masih mahu meneruskan kesinambungannya dalam akhbar ini yang kini dikenali sebagai BH dengan wajah baru kerana penulis yakin ruang pojok ini tetap ada pengikutnya.

Meskipun ramai sakit hati dengan taktik mengkritik tanpa mengira ‘bulu’ dalam ruang pojok ini, tetapi ia memenuhi gagasan nama kolum ini, apalagi ia dilakukan dengan tujuan mengajak pembaca merenung perkara yang dibangkitkan, tanpa niat menghentam peribadi sesiapa!

Kebetulan ruangan non kreatif halaman Sastera pertama kali menemui pembaca dalam BH wajah baru pada 2 dan 3 Julai lalu, memaparkan dakwaan berlaku pergeseran antara Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dengan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).


Kedua-dua pihak sudah pun menafikannya dan pembaca serta ‘orang sastera’ boleh membuat kesimpulan masing-masing, sama ada jawapan yang diberikan tokoh kepimpinan GAPENA mahupun PENA, dapat diterima atau tidak.


Penulis tidak kisah sangat dengan jawapan yang diberikan kerana perkara lebih penting yang perlu dipikul baik oleh GAPENA mahupun PENA ialah menjaga kepentingan penulis di negara ini, di samping memastikan perkara berkaitan bahasa Melayu dan sastera kebangsaan sentiasa dibela.


Penulis berharap GAPENA peka dengan tindakan ‘memulau’ GAPENA yang berlaku secara senyap dalam kalangan penulis ‘muda’ negara ini sejak beberapa tahun lalu, tanpa menafikan dalam kalangan penulis veteran sememangnya selesa dengan mereka.

Penulis muda sudah mula melihat semangat berpasukan mereka membuahkan hasil dengan pemberian dana RM5 juta melalui Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan PENA yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada akhir tahun lalu.


GAPENA pula nampaknya mendapat perhatian daripada kerajaan apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, meluluskan RM500,000 bagi membiayai kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan di negara ini pada 28 Jun lalu.


Hendaknya dana yang diperoleh tidak melupakan tanggungjawab kedua-dua badan akan percubaan tidak berkesudahan daripada musuh bahasa rasmi negara ini yang sentiasa mencari peluang menyusup pelbagai virus bagi mencabar wibawa bahasa Melayu melalui pelbagai cara.


Usaha memintas percubaan ‘menggodak’ kedudukan bahasa Melayu bukan saja perlu dipikul oleh GAPENA, PENA dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), tetapi juga persatuan penulis negeri, individu sastera apalagi mereka dengan nama besar!

Langkah Kementerian Pelajaran mengadakan Dialog Pendidikan Nasional dengan kembara dari satu negeri ke satu negeri dengan Terengganu sebagai lokasi berikutnya adalah kesempatan yang perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Inilah kesempatan persatuan penulis negeri dan pengarang yang berada di luar Kuala Lumpur untuk membuktikan keiltizaman mereka dalam memperjuangkan bahasa dan sastera negara, selain betapa mereka masih relevan dalam era digital serba canggih kini!
Godam: ‘Jangan lena dibuai dana’