Buku

Sulur Bayung

Penulis: S.M Noor

ISBN: 9789674304096

Tahun Terbit: 2014

Harga: RM 25.00 / 30.00 (Sabah & Sarawak)

Kategori: Sastera, Cerpen Remaja

Beli Dalam Talian:

Kumpulan Cerpen: Sulur Bayung ini menampilkan 12 buah cerpen hasil pena penulis mapan dan kawakan asal Terengganu, S. M. Noor. Cerpen-cerpennya mengetengahkan pelbagai persoalan kemasyarakatan — daripada yang bobrok hinggalah kepada yang suci bersih, daripada yang tragik dan melankolia hinggalah kepada yang sejahtera dan bahagia.

Walaupun inti cerita yang disinggung dan disorot oleh pengarang kebanyakannya berlegar dalam kehidupan masyarakat yang hidup sebelum alaf baharu, namun hakikatnya hal-hal yang mendasari kehidupan mereka bukanlah sesuatu yang statik kerana segala-gala yang disinggung dan disorot itu bisa berlaku pada setiap zaman. Hingga demikian, akan kita dapati betapa dekatnya setiap inti cerita yang terzahir lewat cerpen-cerpen beliau itu dengan kita yang hidup pada alaf baharu ini. Dengan teknik penceritaan yang mantap, penggunaan bahasa yang lancar dan segar, pelukisan watak dan perwatakan yang hidup, serta penggunaan secara bijaksana unsur-unsur cereka, semua cerpen dalam Kumpulan Cerpen: Sulur Bayung ini sangat menarik untuk dihayati.

Lebih daripada itu, kita dengan mudah dapat mengesan pelbagai mesej yang disodorkan kepada khalayak pembaca. S. M. NOOR ialah nama pena Syed Mohammad Nor Tuan Long, anak kelahiran Kuala Berang, Terengganu. Beliau terdidik di Sekolah Kebangsaan Kuala Berang, Sekolah Rendah Tengku Ampuan Intan Kuala Berang (Special Malay Class), Sekolah Agama Mahmudiah Kuala Berang, dan Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin Kuala Terengganu.

Beliau kini Ketua Satu Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Kebudayaan Negeri Terengganu serta Ahli Lembaga Perpustakaan Awam Negeri Terengganu. Drama, novel, dan cerpen yang dihasilkannya kerap memenangi sayembara penulisan seperti Peraduan Menulis Cerpen DBP, Sayembara Cerpen ESSO-GAPENA, Sayembara Novel ESSO-GAPENA, Anugerah Seri Angkasa, serta Hadiah Drama TV anjuran JAKIM, FINAS, dan DBP. Beliau juga merupakan penerima Tokoh Budaya Sezaman (Penulisan) daripada Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 1992. Antara karya beliau yang pernah diterbitkan termasuklah novel Tertuduh (Sinaran Bros, 1967), Tebaran Malam (DBP, 1981), Angin Pijar (DBP, 1994), dan Infitar (DBP, 2003) serta drama TV Sang Sutradara (DBP, 1992) dan Astakona (PELITA, 1992) selain drama pentas Cenderawasih (DBP, 1986) dan Alang Perkasa (PELITA, 2005).

“Orang berjiwa besar tidak memerlukan jawapan daripada orang lain….”