Buku

Makyung Warisan Mistik Malaysia

Penulis: Rahimidin Zahari, Sutung Umar RS

ISBN: 9789830686622

Tahun Terbit: 2011

Harga: RM 159.00 / 164.00 (Sabah & Sarawak)

Kategori: Malaysiana, Umum

Beli Dalam Talian:

Lazada

Dalam buku ini terdapat beberapa panduan tentang warisan Makyung yang telah didokumentasikan untuk memberikan pemahaman yang lebih mendalam terhadap karya seni budaya Malaysia bagi generasi akan datang. Terbahagi kepada empat bahagian yang merangkumi 10 bab kesemuanya, setiap bahagian menjelaskan dengan lebih terperinci setiap elemen yang berkaitan tarian Makyung.

Di Bahagian Pertama, “Pendahuluan: Pengiktirafan Antarabangsa terhadap Makyung”, menerangkan asal-usul dan perkembangan Makyung di Malaysia sehingga layak diberikan pengiktirafan pertama oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) dengan gelaran The Oral and Intangible Heritage of Humanity pada 25 November 2005.

Bahagian Kedua, “Persembahan Makyung” pula merangkumi dua bab yang menjelaskan tentang seni persembahan meliputi kronologi persembahan, peranan dan watak dalam persembahan, peralatan muzik serta jenis lagu yang mengiringi persembahan. Dalam bahagian ini juga para pembaca dibawa mengenali satu persatu watak dan alat muzik yang terkandung dalam setiap persembahan tarian Makyung.

Bahagian Ketiga, “Di Sebalik Tabir” pula menjelaskan elemen di sebalik tabir dalam persembahan Makyung, merangkumi busana, solekan dan prop dalam persembahannya. Selain itu, turut diterangkan bagaimana sesebuah persembahan Makyung dilaksanakan – pengurusan panggung komersil, permit dan lesen persembahan, sistem pajak panggung, sistem pembayaran dan nama kumpulan.

Dalam bahagian terakhir, iaitu Bahagian Keempat, “Tokoh Makyung”, merangkumi lima bab terakhir yang memperkenalkan kepada khalayak pembaca tokoh-tokoh Makyung yang terdiri daripada Seniman Negara, Khatijah Awang; Guru Makyung, Fatimah Abdullah; Adiguru Rebab, Che Mat Jusoh; dan Bintang Harapan, Rosnan Abdul Rahman. Bab ke-10 dalam bahagian ini turut menerangkan perkembangan mutakhir seni persembahan Makyung di Malaysia.

Jelas sekali, inti pati buku ini menggambarkan secara jelas segala elemen yang terkandung dalam persembahan Makyung dengan mengambil pandangan menyeluruh tentang bagaimana muzik, tarian, lagu dan ritual muncul bersama sebagai sebuah genre persembahan yang layak memperoleh pengiktirafan antarabangsa.