Buku

Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor

Penulis: Abdul Rahim Ramli
Penterjemah: Yusof Cha

ISBN: 9789674604974

Tahun Terbit: 2017

Harga: RM 120.00 / 125.00 (Sabah & Sarawak)

Kategori: Malaysiana

Beli Dalam Talian:

Lazada Shopee

Johor merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai Mahkota dan melangsungkan istiadat kemahkotaan Sultan. Maharaja Abu Bakar yang memperoleh pengiktirafan antarabangsa sebagai Sultan Johor melalui perjanjian setia dengan Inggeris pada 1885 mengilhamkan dan menzahirkan sebuah Mahkota untuk Baginda dan Sultan-Sultan pengganti Baginda. Tindakan itu merupakan langkah radikal dalam usaha pemodenan Negeri Johor.

Sultan Abu Bakar menaiki takhta Kerajaan Negeri Johor pada 1862, tetapi Istiadat Kemahkotaan Baginda berlangsung pada 1886. Sultan Abu Bakar mengkanunkan undang-undang tentang pengganti takhta Kerajaan Negeri Johor dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Namun Baginda tidak menetapkan istiadat kemahkotaan sebagai satu syarat atau proses undang-undang untuk menaiki takhta kerajaan.

Oleh sebab itu, istiadat kemahkotaan mengesahkan legitimasi pelantikan Sultan dan meningkatkan kedaulatan baginda.

Buku ini meriwayatkan strategi Maharaja Sultan Ibrahim dalam usaha baginda memperoleh pengiktirafan sebagai Sultan; dan memerihalkan kebijaksanaan baginda mengilhamkan falsafah serta menzahirkan barang kemas kerajaan, peralatan kebesaran diraja, dan simbol kekuasaan baginda yang dihormati.

Buku ini juga mencatatkan keprihatinan Sultan Ibrahim dan penglibatan Baginda sendiri bagi memastikan tercapainya hasrat Baginda supaya perayaan kemahkotaan menjadi peristiwa yang eksklusif untuk kenang-kenangan semua rakyat.

Baginda begitu terlibat dalam usaha-usaha memulihara barang kemas kerajaan, membersihkan dan menambah baik tempat untuk semua upacara dan istiadat, memilih warna dan reka bentuk perabot, aksesori perabot, dan cenderamata. Baginda meluangkan masa untuk menguji setiap kerusi yang direka khas bagi memastikan ia selesa untuk tetamu-tetamu Baginda.

Baginda berangkat hadir dan terlibat sendiri dalam raptai dan latihan bagi memastikan ketepatan masa dan pematuhan kepada adat istiadat. Untuk majlis santapan Diraja, Baginda sendiri memilih menu yang menepati cita rasa tetamu-tetamu Baginda.

Istiadat kemahkotaan penuh dengan adat istiadat istana yang diwarisi daripada pemerintah-pemerintah Johor yang terdahulu. Istiadat itu memperlihatkan kemodenan bertemakan warna biru dan keemasan yang menghiasi bilik singgahsana; pakaian istiadat; kamera robotik dan mikrofon jarak jauh yang digunakan.

Istiadat Terimaan, Upacara Pemahkotaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Raja Zarith Sofiah oleh Dato’ Mufti, Bacaan Doa, Lafaz Ikrar Raja, dan Istiadat Menghadap Takzim, menekankan pentingnya adat istiadat dipelihara.

Antara acara kemuncak istiadat kemahkotaan ialah pengurniaan gelaran Permaisuri Johor kepada DYMM Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris, suri baginda, yang merupakan satu kelainan kerana gelaran permaisuri tidak pernah digunakan di Johor sebelum ini.

Buku ini memerihalkan perayaan kemahkotaan menjadi peristiwa yang mengeratkan kerjasama dan persefahaman dalam kalangan rakyat Johor, dan sebagai bukti nyata bahawa institusi diraja masih relevan. Kemahkotaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Johor melambangkan puncak kejayaan dan kemegahan negeri Johor.