
MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN JUBLI EMAS 50 TAHUN PENA & PERHIMPUNAN PENULIS MUDA NASIONAL KALI KETIGA
- KUALA LUMPUR, 16 Disember, 2011 – Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas 50 Tahun PENA & Perhimpunan Penulis Muda Nasional Kali Ketiga telah diadakan malam tadi dan disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Hotel InterContinental, Kuala Lumpur. Majlis yang dianjurkan oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) bersama Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) turut mendapat kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Biro Tatanegara (BTN) dan Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB).
- Semasa Presiden PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, berucap mengalu-alukan kehadiran Y.A.B. Dato’ Sri Najib Tun Razak dan semua tetamu ke majlis ini, beliau menyatakan betapa perlunya hubungan baik dan erat antara penulis dengan kepimpinan Negara. Beliau juga mewakili semua penulis dalam kalangan generasi muda menyatakan sokongan terhadap perencanaan Kerajaan dalam membangunkan Negara dan bersedia membantu Kerajaan melalui bidang penulisan dan persuratan.
- Dalam ucapan perasmian, Y.A.B. Dato’ Sri Najib Tun Razak menekankan peranan Kerajaan terhadap perkembangan kegiatan penulisan dan kesusasteraan di Malaysia. Kehadiran dan amanat Y.A.B. Dato’ Sri Najib Tun Razak dalam majlis ini ternyata mendapat maklum balas yang baik daripada tetamu yang hadir yang terdiri daripada penggiat sastera tempatan.
- Majlis ini turut menyaksikan penganugerahan Tokoh PENA kepada Dato’ Baharuddin Zainal (Baha Zain), pemenang S.E.A. Write Award Tahun 1980 yang juga mantan Presiden PENA. Anugerah ini merupakan penghargaan atas pengorbanan besar beliau semasa menerajui PENA sehingga menjadi persatuan penulis yang konsisten dalam memartabatkan bahasa dan persuratan di negara ini. Beliau menerima watikah penghargaan, hadiah iringan, sepersalinan baju Melayu, dan wang tunai RM5,000 yang disampaikan oleh YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak.
- Pada majlis sama, YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak juga melancarkan tiga buku terbitan PENA yang berjudul Takah Lima Puluh: Antologi Puisi Sempena 50 Tahun PENA, Antologi Karya Sasterawan 2011 dan Perjuangan Penulis Muda: Arah dan Cabaran yang merupakan himpunan makalah semasa Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009.
- Turut hadir pada Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas 50 Tahun PENA & Perhimpunan Penulis Muda Nasional Kali Ketiga ialah Pengerusi ITNM, YB. Datuk Dr. Sharuddin Md. Salleh; dan Pengarah Urusan ITNM, Encik Mohd Khair Ngadiron. Selain dihadiri penulis muda yang menyertai Perhimpunan Penulis Muda Nasional Kali Ketiga, majlis turut diserikan dengan kehadiran beberapa Sasterawan Negara, pemenang S.E.A. Write Award, persatuan-persatuan penulis dan juga penggiat industri buku di Malaysia.