ITBM Logo

Artikel

Siaran Media Majlis Penyampaian Hadiah & Pelancaran Buku Hadiah Sako 3 Kumpulan Utusan-ITNM

20 Dec 2011

 

  • KUALA LUMPUR, 13 Disember, 2011 – Majlis Penyampaian Hadiah dan Pelancaran Buku Hadiah Sako 3 (Novel Nasional) Kumpulan Utusan-Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah diadakan petang tadi dan disempurnakan oleh Menteri Kewangan II Malaysia, YB. Datuk Seri Haji Ahmad Husni bin Mohamad Hanadzlah di Auditorium PNM, Jalan Tun Razak. 
  • Anugerah Hadiah Sako 3 (Novel Nasional) Kumpulan Utusan-ITNM merupakan kesinambungan daripada dua sayembara yang sama sejak dimulakan pada tahun 1992 oleh Kumpulan Utusan. Anugerah tersebut diwujudkan khas bagi mengenang jasa Ishak Haji Mohamad atau Pak Sako, tokoh persuratan Melayu dan sasterawan yang berani dan tajam penulisannya. Kebitaraan beliau dalam penulisan terserlah melalui karya Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila yang kritis mengagungkan budaya Melayu serta lantang mengkritik penjajah Inggeris. 
  • Keseriusan karya yang dihasilkan oleh Pak Sako ini menjadi penanda aras bagi penganjur Hadiah Sako 3 (Novel Nasional) Kumpulan Utusan-ITNM memperoleh lebih banyak novel sastera yang mapan serta mampu memugar pemikiran pembaca tempatan dan antarabangsa. Sayembara ini juga diharapkan dapat menjadi platform bagi penggiat sastera berekspresi melalui penulisan secara serius dengan menekankan hasil karya yang mempunyai pemikiran mendalam. 
  • Kumpulan Utusan yakin dengan kesudian ITNM sebagai rakan kerjasama pintar bukan sahaja untuk projek kali ini, tetapi juga untuk projek Hadiah Sako seterusnya merupakan tindakan bijak demi memartabatkan penulisan sastera ke tahap global. Penglibatan ITNM yang berterusan dalam mengetengahkan karya-karya penulis Malaysia di persada dunia terutama melalui penglibatan ITNM di pesta-pesta buku seluruh dunia seperti di Frankfurt, London dan Tokyo memungkinkan karya pemenang-pemenang Hadiah Sako dapat dibaca oleh peminat buku tanpa batasan bahasa dan sempadan, di mana novel pemenang akan diterjemahkan ke dalam bahasa asing dan dipasarkan ke luar negara. 
  • Lima judul karya yang terpilih daripada 39 manuskrip ini telah dinilai oleh barisan panel yang mempunyai kepakaran mengenai penulisan dalam dunia sastera Melayu. Penilaian ini telah dijalankan menerusi dua peringkat saringan sebelum karya-karya yang dilancarkan hari ini dipilih. Anugerah Sako menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM30,000 untuk pemenang tempat pertama, RM15,000 bagi pemenang tempat kedua dan RM5,000 bagi pemenang tempat ketiga. Hadiah wang tunai bernilai RM1,000 juga telah diberikan kepada dua buah karya sebagai hadiah penghargaan. 
  • Turut hadir pada Majlis Penyampaian Hadiah dan Pelancaran Buku Hadiah Sako 3 (Novel Nasional) Kumpulan Utusan-ITNM ialah YB. Datuk Dr. Sharuddin Md. Salleh, Pengerusi ITNM; YBhg. Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan; YBhg. Dato’ Raslin Abu Bakar, Ketua Pengarah PNM; YBhg. Datuk Mohd Nasir Ali, Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan; YBhg. Encik Mohd Khair Ngadiron, Pengarah Urusan ITNM; dan YBhg. Dr. Ahmad Hairi Abu Bakar, Pengarah Eksekutif, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D). 

Maklumat Berkaitan