ITBM Logo

Artikel

Siaran Media Majlis Pelancaran Buku Sastera Terkini ITNM dan Salam Aidilfitri

31 Oct 2011


SIARAN AKHBAR

  • Bahasa Melayu tersebar luas di seluruh rantau ini bukan melalui penjajahan sebagaimana bahasa Inggeris. Bahasa Melayu yang kini mempunyai penutur kelima terbesar di dunia berkembang luas meliputi Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Pattani dan lain-lain melalui proses yang penuh ketamadunan, iaitu menerusi perhubungan perdagangan dan dakwah agama Islam. Dari sudut ini, sejarah membuktikan bahawa kekuatan sosiologi, politik, dan budaya mampu merentas halangan kedudukan geografi lokaliti penutur bahasa Melayu.
  • Berdasarkan perkembangan bahasa yang penuh optimis ini, sastera kebangsaan turut mempunyai potensi untuk keluar daripada batas kebangsaan atau batas wilayah Nusantara dan menemui masyarakat pembaca dunia melalui berbagai-bagai jalan, terutamanya melalui jalan terjemahan.
  • Sehubungan itu, majlis ini menyaksikan Pelancaran Buku Sastera Terbitan Terkini ITNM yang merupakan sebahagian daripada Projek Terjemahan Sastera Tempatan ke Bahasa Antarabangsa dan Projek Terjemahan Sastera Antarabangsa ke Bahasa Kebangsaan.  Projek terjemahan sastera ini penting untuk mempromosikan sastera dan sasterawan kebangsaan supaya karya tempatan ini dapat dibaca di peringkat antarabangsa. Manakala terjemahan sastera antarabangsa ke bahasa kebangsaan merupakan salah satu kaedah perluasan ilmu kepada masyarakat Malaysia yang majoritinya bertutur dalam bahasa Melayu.
  • Projek yang bermula pada tahun 2008 telah siap diterjemahkan sebanyak 100 karya sehingga akhir tahun 2010. Manakala tambahan 30 judul sastera akan siap diterjemahkan sebelum berakhirnya tahun 2011. Berikut adalah karya sastera kebangsaan terkini yang dilancarkan oleh Y.B. Dato’ Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia pada 22 September 2011 di Wisma ITNM:

1.    1515 oleh Faisal Tehrani 

Faisal Tehrani ternyata telah melakarkan sebuah karya fiksyen yang menarik yang bukan secara khususnya ditulis untuk remaja, walaupun 1515 telah dipilih sebagai pemenang kategori novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2002. 1515 jelas merupakan novel untuk pembaca dewasa yang terbiasa dengan karya sastera non-konvensional kerana ia adalah novel persis sejarah yang memperkenalkan watak Dr. Adi Fimiyun Abdul Hadi, seorang sejarawan, yang mahu menukar perjalanan sejarah penaklukan Melaka pada tahun 1511. Walaupun mungkin terdapat persamaan ketara dengan novel The History of the Seige of Lisbon tulisan José Saramago, 1515 mengubah sejarah Melaka dengan mewujudkan seorang srikandi, Tun Nyemah Mulya yang akhirnya dapat mengalahkan bala tentera Portugis di Melaka. Malah Nyemah seterusnya mengetuai armada Nusantara dengan 100 bahtera perang berisi 60,000 bala tentera lantas menakluki Portugal.

2.    The Big Businessman from Kuala Lumpur oleh Keris Mas

The Big Businessman from Kuala Lumpur terjemahan Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur merupakan sebuah naskhah yang mudah, tetapi mempunyai kepesonaan dalam plot, watak dan latar. Pekan Tualang, Kampung Pulai dan Kuala Lumpur, latarnya sendiri sudah menunjukkan jurang antara sebuah kota metropolitan dengan sebidang tanah di desa yang terpencil. Bermula daripada situ, dibangunkan pula watak Encik Muhammad, Dato’ Tan, Tan Sri dan Syed Aris yang merupakan tokoh dan saudagar kota. Encik Muhammad yang berasal dari Pekan Tualang mengukir kemasyhuran di ibu kota Kuala Lumpur. Di Kampung Pulai, hidup pula watak kecil seperti Sudin, Imam Saad, Pak Salim, Tuk Empat Dahlan, Penghulu Mahmud, Jahid, Lebai Maaruf, Mat Akil dan penduduk Kampung Pulai itu sendiri. Novel ini sememangnya memerlukan banyak lokasi dan watak untuk melengkapi ceritanya sehinggakan terserlah banyak lenggok tari dengan bahasa langgamnya.

3.    Traces of a Journey oleh Rahman Shaari

Rahman Shaari adalah penyajak yang terkenal kerana beliaulah memulakan sajak taksa (ambiguous), atau lebih tepatnya beliau mengasimilasikan sajak kepolosan (diaphanous) dengan ketaksaan. Namun begitu, himpunan puisi terjemahan daripada Kesan Kunjungan ini tidak menggunakan bahasa yang terlalu puitis untuk memindahkan idea tema dan renungannya. Pemenang Anugerah SEA Write 2007 ini tetap menggunakan bahasa yang mudah untuk menyerlahkan lebih kesegaran walaupun ia sedar caranya itu tidak mencabar keintelektualan minda khalayaknya.

  • Manakala sastera dunia yang turut sama dilancarkan pula adalah seperti berikut:

1.    Amina oleh Mohammed Umar (Nigeria)

Hasil karya sastera penulis daripada Nigeria yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris adalah sedikit, maka Amina ini dianggap sebagai adikarya negara Afrika itu yang membuka jalan kepada dimensi kesusasteraan baharu. Namun bukan itunya menjadi matlamat Umar kerana melalui karya ini, beliau mengangkat situasi sosial kaum wanita di Nigeria yang mengalami pelbagai tekanan politik – hanya kerana beralasankan batasan syariat agama. Sekatan ini tambah menyakitkan kerana ia bersangkut paut dengan aktiviti pencarian pendapatan yang ditambah lagi dengan penyelewengan sistem. Itulah perjuangan Umar melalui tinta untuk membebaskan kaum wanita Nigeria daripada kepompong yang dicipta untuk kepentingan pihak tertentu. Membaca novel ini pasti akan mencetuskan harapan bahawa masih ada sinar perubahan di Nigeria.

2.    Mawar yang Hilang oleh Serdar Ozkan (Turki)

Helsinki Sanomat, akhbar yang paling berpengaruh di Finland menyatakan The Missing Rose adalah, “Azimat Putera Turki yang berada di seluruh dunia!” Ternyata Serdar Ozkan berjaya merealisasikannya kerana hasil karyanya itu telah berada di 50 negara dengan terjemahan kepada 44 bahasa. ITNM menterjemahkannya kepada Mawar yang Hilang yang menceritakan tentang Diana, seorang gadis yang terlalu ingin akan perhatian dan puji-pujian orang di sekelilingnya sehingga sanggup melepaskan impian dan nilai jati dirinya. Namun akhirnya, pengakuan ibunya pada saat menghadapi kematian yang menyatakan Diana mempunyai seorang saudara kembar telah mendorongnya melalui sebuah perjalanan penuh misteri ke sebuah taman bunga mawar yang menakjubkan di Istanbul, di mana dia telah dijemput untuk berbicara dengan bunga mawar.

  • Buku-buku yang sedang dalam proses terjemahan dan penerbitan adalah seperti berikut:
  1. Isteri oleh Rosmini Shaari 
  2. Harga Sebuah Maruah oleh Azizi Haji Abdullah
  3. Pemberontakan oleh Jong Chian Lai 
  4. Salam Maria oleh Fatimah Busu 
  5. Setia Asyik Kepada Maksyuknya Shafik Afandi dengan Faridah Hanum
  6. Syair Siti Zubaidah Perang China oleh A. Mutalib A. Ghani
  7. Puisi Mutakhir Hijrah dari Desa ke Kota oleh Muhammad Haji Salleh
  8. Puitika Sastera Melayu oleh Muhammad Hj. Salleh
  9. Pemikiran Adab Ketatanegaraan Kesultanan Melayu oleh Jelani Harun
  10. Dunia Adalah Sebuah Apartmen oleh Anwar Ridhwan
  11. Cakerawala Kemerdekaan oleh Lim Swee Tin 
  12. Panrita oleh Arena Wati 
  13. Ziarah Tanah Kudup oleh Kemala
  14. Orang Perjuangan oleh Zaharah Nawawi
  15. Menziarahi Dunia Sebayan oleh Jong Chian Lai 
  16. Ranjau Sepanjang Jalan oleh Shahnon Ahmad 
  17. Al-Amin oleh A. Samad Said 
  18. Kesusasteraan Melayu Tradisional oleh Harun Mat Piah
  19. Imam oleh Abdullah Hussain
  20. Wajah Seorang Wanita oleh S. Othman Kelantan  
  • Dengan projek terjemahan ini, menjadi harapan Institut Terjemahan Negara Malaysia supaya ia menjadi modal kepada kecemerlangan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju selari dengan pembangunan ilmu.

Maklumat Berkaitan