ITBM Logo

Artikel

Siaran Akhbar Majlis Pelancaran Buku “Makyung: Warisan Mistik Malaysia”

22 Dec 2010

Tarikh: 19 Disember 2010 (Ahad)
Masa: 3.00 petang
Lokasi: Kinokuniya, Suria KLCC 

Buku Makyung: Warisan Mistik Malaysia (versi bahasa Inggeris: Makyung: The Mystical Heritage of Malaysia) adalah buku yang menghimpunkan segala elemen penting berkaitan tarian Makyung. Isi kandungan buku ini terbahagi kepada 10 bab yang menerangkan secara terperinci berkenaan Makyung – daripada sejarah dan latar belakangnya sehinggalah elemen artistik termasuk unsur teater, tarian, nyanyian, muzik, ritual dan ikon, termasuk sifat mistik yang merupakan elemen penting dalam seni persembahan tradisional ini.

Buku ini adalah satu khazanah besar Negara, kerana isi kandungannya yang mendokumentasikan segala aspek penting berkaitan seni persembahan Makyung. Usaha menerbitkan dan mengetengahkannya kepada masyarakat tempatan mahupun antarabangsa adalah sangat penting, bertepatan dengan pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang mengangkat Makyung sebagai Masterpiece of the Oral & Intangible Heritage of Humanity pada 25 November 2005.

Buku ini ditulis oleh sekumpulan penulis yang mempunyai pengetahuan mendalam serta pengalaman luas mengenai Makyung, terdiri daripada Prof. Datuk Dr. Mohamed Ghouse Nasuruddin, Dr. A.S Hardy Shafii, Che Mat Jusoh dan Jumilah Md. Tahir. Hasil tulisan mereka kemudiannya dihimpun, diperkemas, dan disusun semula oleh Rahimidin Zahari serta Sutung Umar.

Buku ini diterbitkan dalam dua versi bahasa (Melayu serta Inggeris). Selain menyokong usaha kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia dalam melaksanakan program MBMMBI, penerbitan dalam dua bahasa ini juga bertujuan untuk membuka pasaran lebih luas terhadap buku ini, merangkumi jaringan tempatan mahupun antarabangsa.

Keputusan ITNM menerbitkan buku ini dibuat dengan pertimbangan bahawa Makyung adalah satu-satunya kesenian serta seni persembahan Malaysia yang mendapat pengiktirafan tinggi di peringkat antarabangsa. Hal ini adalah satu aspek penting, kerana dalam fenomena globalisasi dunia yang kini memperlihatkan kerakusan banyak negara untuk tampil mendakwa hak ke atas sesuatu yang asalnya dimiliki secara rumpun, Makyung akhirnya diangkat UNESCO sebagai satu produk yang mempunyai budaya paling hampir dengan tradisi asal masyarakat Malaysia. Justeru, usaha mendokumentasikan Makyung dilihat ITNM sebagai satu inisiatif patriotik, tambahan apabila tiada usaha dilakukan ke arah itu (oleh mana-mana pihak) selepas lebih lima tahun Makyung diberikan pengiktirafan global.

“Kami berharap semoga usaha ini dapat menjamin jangka hayat Makyung bagi tempoh lebih panjang, supaya generasi muda akan datang tidak kehilangan peluang untuk mengenali dan memahami tunjang serta warisan akar tradisi kita sejak zaman berzaman. Justeru itulah warisan ini perlu kita pelihara kerana ia adalah satu antara penyumbang kepada ketamadunan manusia yang telah kita capai dan kita nikmati hari ini. Usaha kami menerusi buku ini adalah demi menjamin kesinambungan yang berterusan, sekali gus memastikan ia tidak bertukar menjadi artifak sejarah sebelum tiba waktunya ia jadi begitu,” kata Mohd Khair Ngadiron, Pengarah Urusan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) ketika majlis pelancaran buku Makyung di Kinokuniya, KLCC hari ini.

Buku Makyung ini juga pada 9 Oktober lalu, telah diperkenalkan ITNM kepada masyarakat antarabangsa apabila dibawa dan dilancarkan bagi tujuan pasaran hak cipta di Frankfurt Book Fair 2010. Selain buku tersebut, turut dibawa sama oleh ITNM ke Frankfurt bagi misi promosi buku ini adalah kumpulan persembahan Makyung daripada Istana Budaya, diketuai watak Pakyung yang dimainkan oleh Rosnan Abdul Rahman, anak Kedah yang kini antara pelapis utama kepada seni persembahan Makyung di negara ini.

Khusus bagi mempromosikan buku Makyung kepada khalayak Malaysia dan pelancong asing di negara ini, ITNM telah menjalin beberapa bentuk kerjasama dengan Kinokuniya Book Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. Ini antaranya termasuklah pelaksanaan promosi peragaan tetingkap (atau window display) di gedung buku tersebut bermula 13 Disember lalu, dan akan berterusan sehingga 31 Januari 2011. Selain buku Makyung ini, turut dipamerkan adalah koleksi busana serta peralatan muzik penting dalam persembahan Makyung.

Hasil kerjasama antara ITNM dan Kinokuniya, orang ramai turut berpeluang mendapatkan buku Makyung pada harga diskaun 20 peratus sepanjang tempoh promosi (13 Disember 2010 hingga 31 Januari 2011). Bagaimanapun, diskaun eksklusif ini hanya sah di Kinokuniya dan orang ramai perlu menyertakan penanda buku berkepil kupon diskaun yang boleh diperolehi daripada kaunter di Kinokuniya sepanjang tempoh promosi ini berlangsung.

Dijual pada harga RM159 senaskhah (atau RM164 untuk Sabah & Sarawak), buku Makyung ini boleh diperolehi di gedung buku Kinokuniya KLCC, serta semua cawangan MPH dan kedai buku utama di seluruh negara.

 

Maklumat Berkaitan

  • Majlis Pelancaran Buku “Makyung: Warisan Mistik Malaysia”