ITBM Logo

Artikel

Amanah Perdana Menteri di Pesta Buku

14 May 2010


Tanggal 28 Mac 2010 mencatat sejarah apabila Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dengan sokongan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) buat julung kalinya menganjurkan program “bacaan buku” yang diadakan sebagai kemuncak pengisian aktiviti yang diatur oleh ITNM sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2010. Majlis yang berkonsepkan “pemimpin mengamanahkan budaya membaca kepada rakyat” ini menyaksikan YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia membaca 23 baris ayat tulisannya, dipetik dari Bab 5: Pertarungan Minda Perang Masa Depan, buku “Menakhoda Zaman”.

Buku Menakhoda Zaman yang diterbitkan dalam dwibahasa oleh ITNM dan MPH Publishing Sdn. Bhd. antara lain menghimpunkan pelbagai idea, kritikan dan pandangan Najib yang digarap secara jujur apabila memperkatakan tentang kelemahan kita sebagai anak bangsa, bagaimana kita perlu bangkit untuk menyahut cabaran, apakah caranya untuk kita menggerakkan perubahan, dan laluan mana yang sebaiknya dipilih untuk membolehkan gagasan membina masa depan itu dapat dicapai demi kemajuan Negara dan kemakmuran rakyat seluruhnya.

Rasional pemilihan buku Menakhoda Zaman untuk pengisian ulung program ini adalah kerana penulisnya merupakan pemimpin tertinggi Negara, sekali gus menjadi model paling berkesan untuk menyampaikan mesej mengamanahkan budaya membaca kepada rakyat. Sekiranya seorang pemimpin yang kapasiti waktunya diketahui amat terhad, namun masih mahu dan masih boleh mencari ruang waktu untuk menulis dan membaca, maka apalah sangat kita sebagai rakyat di bawah kepimpinan beliau.

Secara dasarnya, idea asal program “bacaan buku” ini diambil daripada pengalaman ITNM menyertai pesta buku terbesar dunia, Frankfurt International Book Fair di Jerman yang memperlihatkan acara bacaan buku ini sebagai amalan wajib di kebanyakan gerai pempamer. Malah, konsep bacaan buku sebegini juga adalah aktiviti intelektual yang menjadi amalan di kebanyakan negara Barat, tetapi tidak pernah dilaksanakan dalam skala formal pada mana-mana acara di Negara ini. Sempena PBAKL 2010, ITNM mengambil inisiatif untuk memulakannya dengan harapan cara sebegini dapat menyuntik semangat yang menyumbang kepada amalan suka membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Selain itu, penganjuran program ini turut dan memberi wajah baharu kepada penganjuran PBAKL dengan suntikan idea Frankfurt International Book Fair yang amat terbuka dalam memberi kebebasan kepada penerbit/pempamer untuk mengaktifkan pelbagai aktiviti di gerai mereka masing-masing. Ia juga suatu program yang patut diberi galakan kerana ia mampu merangsang serta menggalakkan orang ramai untuk menyertai aktiviti intelektual.

Turut hadir dalam majlis ini memberi sokongan adalah YB. Dr. Mohd Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran, YB. Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB. Datuk Dr. Sharuddin Md. Salleh, Pengerusi ITNM, YBhg. Encik Mohd Khair Ngadiron, Pengarah Urusan ITNM, dan YBhg. Datuk Raslin Abu Bakar, Ketua Pengarah PNM.

Majlis yang dihadiri lebih 100 orang pengunjung ini turut menyaksikan simbolik penyerahan buku oleh pihak ITNM kepada PNM yang telah menyumbangkan 2,500 naskhah buku Menakhoda Zaman ke seluruh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri, Perpustakaan Desa dan Perpustakaan Gunasama untuk dijadikan bahan utama dalam kempen membaca.

 

Maklumat Berkaitan